Masiung Banah beramah mesra dengan pengamal media yang hadir pada Majlis Mesra Aidilfitri di Kota Kinabalu, kelmarin.
KOTA KINABALU: Komitmen kerajaan negeri untuk menoktahkan kemiskinan di daerah Tongod diterjemahkan menerusi pembangunan kilang simen yang akan dibina dengan kos RM1.2 bilion.
Menurut Utusan Malaysia, ADUN Kuamut yang juga Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn. Bhd., Datuk Masiung Banah berkata, pembinaan kilang simen itu bukan hanya akan memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat malah, akan membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.
Beliau berkata, pembangunan kilang yang dilancarkan oleh Ketua Menteri pada minggu lalu itu akan turut memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk menikmati bekalan elektrik dan air serta kemudahan jalan raya yang baik.
“Sebagai pemimpin di Kuamut, saya melihat kilang simen ini bukan sahaja boleh memberi impak ekonomi kepada negeri Sabah tapi, kawasan itu akan turut menumpang pembangunan yang akan dibawa.
“Saya percaya kerajaan akan menyediakan bekalan elektrik, air dan kemudahan jalan raya yang baik dan sudah tentu kampung-kampung berhampiran juga akan mendapat tempias hasil pembinaan kilang tersebut,” katanya semasa Majlis Mesra Aidilfitri bersama media, kelmarin.
Menurut beliau, pembinaan kilang yang akan menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan itu sudah pasti membantu usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan di Tongod yang tersenarai sebagai lapan daerah termiskin di Malaysia.
Kata beliau, Ketua Menteri juga telah menyarankan agar pekerja yang diambil bekerja di kilang tersebut haruslah daripada kalangan keluarga miskin tegar.
Ia antara pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri bukan hanya untuk menoktahkan kemiskinan sebaliknya, memerdekakan kadar kemiskinan yang ada di Tongod dengan menawarkan peluang-peluang pekerjaan yang kekal lama.
Masiung, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, pihaknya sedang giat membina Rumah Mesra Rakyat di beberapa daerah untuk membolehkan golongan B40 mampu memiliki rumah sendiri.
Untuk tahun ini, pihak LPPB sedang dan akan menyiapkan 50 unit rumah di Kemabong, 50 unit di Merotai, Beluran (25 unit) dan Sukau (50 unit).
Beliau berkata, walaupun permohonan yang diterima untuk program Rumah Mesra Rakyat itu mencecah 50,000 permohonan namun, kerajaan negeri hanya mampu menyediakan 50 unit rumah di setiap daerah pada masa ini.
Sekiranya keadaan kewangan dan ekonomi negeri semakin baik maka, tambahan peruntukan akan diberikan untuk pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.


































