Akhyar Rashid (berkerusi roda) yang dipercayai cedera selepas menjadi mangsa samun sedang menunggu untuk diberi rawatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu, malam tadi. – Media Sosial
KUALA TERENGGANU: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, dipercayai menjadi mangsa samun sehingga mengalami kecederaan, di sini, malam tadi.
Ia susulan gambar yang tular di media sosial pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terduduk di hadapan sebuah kenderaan dipercayai miliknya dalam keadaan lemah.
Menurut Utusan Malaysia, turut tular sebuah video pendek menunjukkan pemain itu sedang menunggu untuk diberi rawatan di sebuah hospital di bandar raya ini.
Selebriti yang juga teman wanitanya, Ekya Farhana, turut kelihatan dalam video berkenaan.
Menerusi muat naik di Instagramnya, Eyka berada di negeri ini untuk menyambut ulang tahun Akhyar.
Menjengah di ruangan komen pengguna Facebook, pemain itu dikatakan menjadi mangsa samun di hadapan sebuah apartment, malam tadi.
Akhyar yang juga tonggak Harimau Malaya mula menyertai TFC secara pinjaman daripada JDT untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Malah pemain itu juga difahamkan berada dalam perancangan pengendali negara, Kim Pan-gon untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.


































