Keadaan kereta yang terlibat kemalangan menyebabkan pemandunya maut di Ipoh kelmarin. – Utusan/Ihsan Bomba
IPOH: Seorang akauntan maut selepas kereta dipandunya bertembung sebuah kenderaan yang hilang kawalan ketika membuat pusingan U di Jalan Dato Seri Ahmad Said dekat Greentown di sini kelmarin.
Kejadian sekitar pukul 8.45 pagi itu mengakibatkan pemandu kereta Honda City, Poon Ming Sum, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Peugeot dipandu wanita berusia 45 tahun itu hilang kawalan ketika membuat pusingan U di simpang antara Jalan Greentown.
Katanya, kenderaan itu kemudiannya masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Honda City dipandu mangsa.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala wanita terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163,” katanya.
































