KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini melepaskan seorang wanita dengan bon ikat jamin berkelakuan baik selama enam tahun atas dua kesalahan iaitu menjalankan amalan pergigian dan mengendalikan klinik swasta tidak berdaftar, dua tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Norina Zainol Abidin memerintahkan Bunga Melur Alisya Ahmad, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) dilepaskan dengan bon jaminan RM10,000 tanpa cagaran dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan selepas mengaku bersalah atas kedua-duanya.
Ketika memutuskan demikian pada 21 Februari lalu, mahkamah mengambil kira hujah pendakwaan, pengakuan bersalah dan faktor-faktor mitigasi iaitu pesalah pertama, latar belakang dan usia muda, keadaan kesihatan dan faktor kesempitan hidup OKS.
“Mahkamah berpendapat, kesalahan yang dilakukan OKS tidak serius, oleh yang demikian perintah bon jaminan berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) boleh diguna pakai. Hukuman yang dikenakan berpadanan, munasabah dan tidak melampau.
“Pada pandangan saya, bon jaminan berkelakuan baik lebih berat berbanding hukuman denda kerana sesetengah pesalah mampu membayarnya (denda) namun tidak meninggalkan sebarang kesan,” ujar hakim berkenaan dalam penghakiman bertulisnya bertarikh 24 April lalu yang diperolehi dari laman web mahkamah kelmarin.
Wanita itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan kira-kira pukul 12.10 tengah hari, 6 Disember 2022 di sebuah premis kediaman di Taman Danau Kota, Setapak di sini. Tarikh kejadian merupakan tarikh hari ulang tahun kelahirannya yang ke-21.
Pertuduhan pindaan pertama, wanita itu didakwa menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 dan didakwa di bawah Seksyen 62(1) akta itu.
Pertuduhan pindaan kedua, Bunga Melur didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa berdaftar di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) akta itu.
Kedua-dua seksyen memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, premis kediaman itu diserbu oleh pasukan serbuan dari Cawangan Perundangan dan Penguatkuasaan, Program Kesihatan Pergigian dan anggota polis selepas menerima maklumat kegiatan amalan pergigian oleh individu tidak berkelayakan serta pengendalian klinik pergigian swasta tidak berdaftar.
Ketika serbuan, Bunga Melur sedang menjalankan rawatan pendakap gigi terhadap seorang pelanggan dalam sebuah bilik manakala seorang lagi pelanggan wanita menunggu giliran mendapatkan rawatan.
Wanita itu gagal menunjukkan dokumen yang sah selepas diminta membuktikan dia seorang pengamal pergigian berdaftar dan premis itu merupakan klinik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
Pasukan tersebut kemudian merampas dan menyita pelbagai peralatan pergigian, bahan pergigian dan ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan pendakap gigi manakala premis tidak dilak.
Semakan lanjut menunjukkan Bunga Melur bukan pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan tidak pernah diberikan perakuan pengamalan tahunan yang membolehkannya menjalankan amalan pergigian.
Antara rayuan OKS mendakwa menawarkan khidmat pemasangan pendakap gigi kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Namun dia tidak melakukan khidmat pergigian lain seperti mencabut gigi.
OKS turut menghidap ‘henoch schonlein purpura’ sejak 2018 iaitu keradangan pada kulit yang melemahkah otot dan sendi dan perlu mengambil ubat dalam jumlah yang banyak.
Bagaimanapun pihak pendakwaan berhujah agar OKS dikenakan hukuman berbentuk pengajaran dengan mempertimbang bahawa perbuatannya menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan awam.
































