Anwar Ibrahim bercakap sebagai salah seorang panel dalam Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2024 di Riyadh, Arab Saudi, semalam. Turut bersama beliau ialah Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu (kiri) dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva (dua dari kanan). – Pejabat Perdana Menteri
PETALING JAYA: Malaysia mengamalkan dasar asing seimbang termasuk mengadakan kerjasama ekonomi dengan semua blok negara dan juga bergantung pelaburan dari negara Barat bagi melonjak ekonomi negara ke tahap maksimum.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga terus mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan China, Korea Selatan dan Jepun bagi melonjakkan ekonomi ke tahap cemerlang.
Beliau berkata, Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN tahun hadapan komited memastikan rantau itu kekal bebas dan aman, sekali gus menjamin pertumbuhan ekonominya untuk terus mampan serta berupaya menarik pelaburan.
Katanya, negara-negara dunia harus menumpukan dasar urus tadbir, langkah reformasi dan tanggungjawab fiskal.
“Ada yang khuatir dengan kedudukan dasar luar Malaysia untuk terlibat (bekerjasama) dan bergantung kepada sokongan, kerjasama, pelaburan dari barat, Amerika Syarikat, Eropah dan pada masa sama mengekalkan hubungan baik dengan China, Korea Selatan dan Jepun.
“Lebih utama kepada China kerana potensinya (ekonomi), walaupun ada sensitiviti yang bukan disebabkan oleh masalah kami. Itu masalah antara mereka,” katanya ketika bercakap pada sesi Plenari Pembukaan bertemakan Visi Baharu Pembangunan Global bersama pemimpin negara lain dalam mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang disiar secara langsung di Riyadh, Arab Saudi,semalam.
Kira-kira 1,000 pemimpin dari 92 negara berhimpun di Riyadh sempena WEF mengenai Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan bermula semalam.
Sementara itu, Anwar berkata, negara tidak akan mampu bergerak ke hadapan khususnya dalam aspek ekonomi jika tidak menumpukan kepada soal tadbir urus dan tanggungjawab fiskal yang menjadi teras penting.
Katanya, Malaysia juga belajar dari kekurangan lalu seperti isu rasuah dan ketidaksaksamaan antara golongan kaya dan miskin dalam menambahbaik perkembangan ekonomi.
“Malaysia antara negara paling aman di dunia dan mempunyai perkembangan ekonomi terpantas dan dengan itu kita perlu mula memfokuskan kepada isu tadbir urus dan tanggungjawab fiskal. Kita perlu mula dengan keutamaan itu bagi mengembangkan lagi potensi negara, kita ada pengalaman lalu pada tahun 1990-an,” katanya.
Katanya, dalam konteks Malaysia, Amerika Syarikat terus kekal menjadi pelabur utama selain sejak beberapa tahun kebekalangan ini, menyaksikan China sudah menggandakan pelaburannya ke Malaysia.
“Bagaimana kami mengurusnya, saya hanya boleh mengatakan kami mengalu-alukan pelaburan yang mengikut peraturan kami dan tanpa menetapkan sebarang syarat.
“Setakat ini kita menguruskannya, bukan mudah. Pada masa sama, Malaysia dan ASEAN sedang meneroka menggandakan penerimaan pelaburan dari Afrika, Amerika Latin serta Asia Barat,” katanya.
Mengenai isu geopolitik, katanya, walaupun situasi kompleks yang menjejaskan Asia Barat khususnya kemarahan dan kekecewaan terhadap krisis di Gaza, ekonomi negara-negara Islam tidak sepatutnya terjejas.
Selain itu, katanya, inisiatif dilaksanakan pentadbiran kerajaan Arab Saudi tidak boleh dipandang ringan kerana ia dilihat menjadi peneraju suara dalam pembangunan ekonomi.
“Ia tidak berlaku sebelum ini, justeru, apabila mereka mula memfokuskan kepada pembangunan globalisasi, transformasi digital dan peralihan tenaga banyak negara Islam lain turut melihat inisiatif ini.
“Isu Palestin juga penting dan asas kepada kita, tetapi pada masa sama, kita perlu bertahan. Ekonomi perlu kukuh dan asasnya perlu dibina,” katanya.
































