Media Britain melaporkan Liverpool bersetuju mengambil Arne Slot menggantikan Jurgen Klopp akhir musim ini.
LONDON: Liverpool mencapai persetujuan dengan Feyenoord untuk mengambil Arne Slot menggantikan Jurgen Klopp selaku pengurus kelab England itu, lapor media Britain.
Menurut Utusan Malaysia, Persatuan Akhbar berkata, perkara yang dipersetujui termasuk pakej pampasan terhadap pengurus berusia 45 tahun itu yang masih mempunyai baki dua tahun kontrak bersama kelab Belanda itu.
BBC pula mendakwa persetujuan itu melibatkan nilai 9.4 juta pound.
Slot pada Khamis lalu berkata, dia yakin akan memikul tanggungjawab itu di Anfield.
“Saya mahu ke Liverpool. Sekarang saya hanya menunggu persetujuan kelab mengenai rundingan tersebut. Saya sangat yakin,” katanya kepada wartawan.
Slot berhijrah ke Feyenoord pada 2021 selepas cemerlang dalam tugasan pertamanya sebagai pengurus AZ Alkmaar.
Dia sebelum ini membimbing kelab gergasi Belanda itu ke perlawanan akhir Liga Konferens Europa walaupun tewas tipis 1-0 kepada Roma yang dikendalikan Jose Mourinho.
“Saya suka menyaksikan cara pemainnya bermain. Kalau dialah yang dipilih, saya suka sebab di mahu berada di sini (Liverpool). Saya tidak kenal dia, tetapi beberapa orang yang kenalnya memberitahu dia bagus. Itu yang saya suka. Jurulatih bagus dan juga orangnya baik. Jika dialah orang yang dicari Liverpool saya tumpang gembira,” kata Klopp, semalam.


































