Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri.
Katanya, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
i. Kementerian Kewangan akan memudah cara penerokaan hasil baharu yang dilaksanakan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi lain seperti Karbon Kredit, Yuran Konservasi dan lain-lain lagi.
ii. Kementerian Kewangan sentiasa meneroka dan mengkaji pengenaan cukai baharu bagi memperluaskan produk dan skop pengenaan Cukai Jualan Negeri. Untuk makluman, setakat ini terdapat 8 produk yang dikenakan cukai yang mana dua daripadanya baharu saja diperkenalkan pada 1 April 2024 lalu iaitu pasir silika/silika dan biojisim kelapa sawit yang dibawa keluar dari negeri Sabah dengan anggaran kutipan CJN berjumlah RM12.0 juta setahun;
iii. Kerajaan Negeri akan mengkaji semula dan menambah baik kontrak perjanjian/ordinan mengenai kadar royalti yang dikenakan. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, mengenai royalti emas 5% dicadang untuk ditingkatkan kepada 10% serta dikenakan apabila emas tersebut dileburkan dan bukan semasa dijual. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, kadar royalti emas akan meningkat dua kali ganda. Di samping itu, Cukai Jualan Negeri juga akan dikenakan ke emas yang di bawa keluar dari Sabah.
iv. Kementerian Kewangan akan menambahbaik pengurusan dan operasi Syarikat Milik Kerajaan Negeri dan Badan- Badan Berkanun untuk meningkatkan keuntungan dan seterusnya dapat membayar dividen dan sumbangan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri.
v. Kerajaan Negeri akan membuat semakan semula ke atas kadar perkhidmatan / perlesenan selaras dengan penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan berkenaan pemberian khas di bawah Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan serta pemberian- pemberian lain yang berhak dituntut oleh Sabah,” katanya.
Beliau menyeru semua pegawai pengawal di Kementerian/jabatan Kerajaan Negeri untuk memastikan pelaksanaan pekeliling Kementerian Kewangan Bil.1/2022 bagi menambah baik pengurusan pungutan hasil kerajaan negeri Sabah dan memperkenalkan operasi pengutipan hasil yang lebih efisien serta memastikan ketirisan hasil dapat disifarkan.
Penambahbaikan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri
Menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) dan Calvin Chong (Elopura), Masidi berkata, Sabah Development Bank (SDBank) secara agresif sedang dalam usaha menstruktur dan memulihkan hutang-hutang lapuknya.
“Pengambilalihan Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) oleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) antara lainnya, telah membantu mengurangkan beban hutang lapuk SDBank selain menyuntik modal pusingan (recapitalisation) kepada SDBank.
“Sebelum pengambilalihan ini, SIP telah menceburi beberapa perniagaan yang mengalami kerugian dalam bidang Minyak dan Gas serta mempunyai pinjaman yang sangat tinggi dan telah menanggung kadar faedah yang tinggi yang menjejaskan keuntungan dan kemampanan kewangan mereka.
“Sehubungan itu, terbitan Sukuk RM900 juta untuk tujuan memperolehi SIP merupakan Pemerolehan Nilai Akretif (value accretive acquisition) memandangkan keupayaan penjanaan dividen yang besar daripada pemegangan saham 10% SIP dalam LNG9 Sdn. Bhd.”
Beliau berkata, SMJE juga bertindak menyusun semula SIP dengan memberi tumpuan kepada perniagaan yang lebih menguntungkan selain pembiayaan semula pinjaman SIP yang membolehkan SMJE menggunakan kadar faedah yang jauh lebih rendah daripada pasaran modal untuk membayar hutang SIP, yang mempunyai kadar faedah yang sangat tinggi.
“Sejak SMJE mengambil alih SIP pada Okt 2023, SIP mampu mengisytiharkan dividen kepada SMJE yang membolehkan SMJE mencapai keuntungan yang disasarkan. Selain itu, SMJE juga memperolehi hasil daripada urusniaga lain yang telah memberi pulangan keuntungan selepas cukai sebanyak RM217 juta yang membolehkannya memberi pulangan dividen kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM50juta pada tahun 2023.
“Untuk makluman, sebarang terbitan daripada Sukuk tidak boleh digunakan untuk pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri kerana ianya bercanggah dengan terma dan syarat Program Sukuk Wakalah.”
Menurut Masidi, Sabah terus mendapat manfaat daripada penglibatannya dalam Sektor Minyak dan Gas melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai bersama PETRONAS pada 7 Disember 2021.
Selaras dengan CCA, katanya, SMJE bertindak sebagai Pelabur Kewangan yang Berhemah dengan memberi tumpuan kepada penghasilan Aset Minyak dan Gas merentas Sektor Huluan, LNG dan Hilir/Petrokimia dengan aliran tunai yang sihat dan dikendalikan oleh Pengendali terkemuka dengan rekod prestasi Environmental, Social and Governance (ESG) yang terbukti.
“Pada 5 April 2023, SMJE telah memuktamadkan pemerolehan 50% penyertaan dalam PSC Samarang dengan menandatangani Perjanjian Farm Out. Penyelesaian pengambilalihan sejak 31 Mei 2023 telah membolehkan Sabah menjual hak minyak mentahnya di Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) kepada pembeli minyak mentah antarabangsa untuk sejumlah empat (4) kargo setakat ini dengan anggaran hasil jualan terkumpul hanya di bawah RM580 juta setakat ini.
“Pada 6 Jun 2023, SMJE menjadi pemegang saham 25% berdaftar Loji Petrokimia Ammonia Urea (SAMUR) Sabah di Sipitang. Sejak pengambilalihan, SMJE telah menerima pendapatan bersih daripada SAMUR sebanyak RM53 juta untuk Tahun Kewangan 2023.
“Pada 25 Oktober 2023, SMJE memperoleh 10 peratus kepentingan penyertaan dalam Petronas LNG9 (PLNG9) melalui pengambilalihan Sabah International Petroleum (SIP). Sabah menerima pembayaran tunai sebanyak RM343 juta daripada PLNG9 pada tahun 2023 sahaja. Selain itu, SMJE telah menerima RM112 juta lagi dividen daripada PLNG9 sejak awal tahun ini dan menjangkakan dividen yang sihat pada tahun- tahun akan datang.
“SMJE terus mengejar beberapa peluang Huluan, LNG dan Hiliran/Petchem yang menguntungkan dengan sokongan padu Kerajaan Negeri Sabah.”
Pegangan Saham Kerajaan Negeri Dalam GLC
Berkaitan dengan pegangan saham Kerajaan Negeri di Syarikat GLC, Masidi menjelaskan, Kerajaan Negeri hanya mempunyai pegangan saham di 43 syarikat daripada 213 syarikat termasuk subsidiari yang dikaitkan dengan Kerajaan Negeri, iaitu, 26 Syarikat Kerajaan Negeri dengan pegangan saham 50% hingga 100%, 4 syarikat subsidiari Syarikat Kerajaan Negeri dengan pegangan saham 20% hingga 50% dan 13 syarikat lain dengan pegangan saham kurang daripada 25%.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri hanya boleh mengutip hasil dalam bentuk dividen dan sumbangan daripada 43 syarikat ini. Lebihan 170 buah syarikat lagi adalah merupakan subsidiari syarikat Kerajaan Negeri yang mana Kerajaan Negeri tidak mempunyai pegangan saham terus di dalamnya (0%). Pada tahun 2023, 17 daripada 43 syarikat Kerajaan Negeri atau 40% telah mengisytiharkan dividen dan sumbangan.
“Pembayaran dividen berubah setiap tahun berdasarkan trend keuntungan syarikat yang sentiasa berubah-ubah. Perubahan ini tidak semestinya disebabkan oleh pengurusan syarikat yang kurang cekap tetapi lebih dipengaruhi oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu. Sebagai contoh, Dividen yang dibayar oleh Sawit Kinabalu Berhad kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2021 sebanyak RM24.4 juta yang meningkat pada tahun 2022 sebanyak RM41.8 juta dan menurun kepada RM20.19 juta pada tahun 2023 yang dipengaruhi oleh perubahan harga komoditi kelapa sawit.
“Bagi syarikat-syarikat GLC yang mengalami masalah, Kerajaan Negeri akan membantu dan memulihkan syarikat-syarikat ini melalui Panel Perundingan dan Pemantauan GLC yang akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan Tuan Siaw Kok Chee, bekas pengarah wilayah RHB yang juga Penasihat Kewangan Ketua Menteri dan keahliannya terdiri daripada tiga orang daripada Kerajaan Negeri dan tiga orang daripada sektor swasta. Panel yang ditubuhkan ini akan bermula pada bulan Mei 2024.
“Panel ini berperanan dalam memberi khidmat nasihat dan bimbingan mengenai keberkesanan fungsi dan peranan GLC, meneliti dan menilai semula KPI setiap GLC yang bermasalah dan memberikan cadangan dan syor seperti menamatkan operasi syarikat termasuk penyusunan semula GLC dan mewujudkan eko- sistem GLC yang lebih mampan,” ujarnya.
Pengukuhan Operasi Perlombongan Emas
Mengenai operasi perlombongan yang dikatakan tidak mempunyai lesen, Masidi berkata, ini adalah tidak benar sama sekali.
Jelasnya, syarikat tersebut telah diberikan kelulusan penyambungan Sijil Pengendalian Melombong (SKSPM) di Bukit Mantri, Tawau pada 8 April 2024 daripada Jabatan Mineral dan Geosains.
“Sijil sebelum ini telah tamat tempoh pada 31 Oktober 2023 dan belum diperbaharui pada masa tersebut kerana laporan Environment Impact Assessment (EIA) belum dikemukakan. Walau bagaimanapun, tiada arahan untuk menghentikan operasi perlombongan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) merangkap Ketua Merinyu Galian berdasarkan Ordinan Perlombongan 1960. Ini kerana Sabah tidak tertakluk kepada Akta Perlombongan Mineral 1994 yang mewajibkan syarikat memperolehi kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) seperti dinyatakan dalam seksyen 10 akta tersebut. Sistem Galian di Sabah dikawal oleh Ordinan Tanah Sabah Cap.68 dan Ordinan Perlombongan 1960,” katanya.
Menjawab pertanyaan Sarifuddin Hata (Merotai), Menteri berkata, sejak 1 November 2023 sehingga 7 April 2024, sebanyak 10 kali aktiviti pemantauan telah diadakan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersepadu.
Kata Masidi, tiada rekod jualan emas atau sebarang invois diterima daripada syarikat operator maka itu Kerajaan Negeri belum mengutip royalti emas ke atas 254.51 kg jongkong emas yang dihasilkan.
“Untuk makluman juga, kali terakhir Jabatan Mineral dan Geosains mengeluarkan Surat Penentuan Jualan dan Peratusan Kandungan Emas adalah pada 21 Februari 2022. Selepas daripada tarikh tersebut, Jabatan Tanah dan Ukur telah melaksanakan kadar 5% royalti emas dikira berdasarkan salinan invois daripada syarikat operator kepada syarikat pembeli yang telah disahkan oleh pihak Assayer berlesen yang dilantik.
“Pendirian Kerajaan Negeri ialah operasi perlombongan Emas di Tawau adalah sah di bawah Ordinan Perlombongan Sabah 1960.
“Kerajaan Negeri Sabah telah membuat ketetapan untuk tidak mengiktiraf pemakaian Mineral Development Act 1994 (MDA) di Sabah dan telah memulakan tindakan untuk memantap dan memperkasakan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 melalui pemerkasaan Rangka Kerja Pengawalseliaan (Regulatory Framework) sejajar Seksyen 28 Ordinan Perlombongan Sabah 1960.
“Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah untuk mengemaskini SOP untuk mengutip royalti dan ermohonan lesen peletupan serta memperkenalkan peraturan baharu untuk kelulusan Skim Operasi Melombong (OMS) oleh Ketua Merinyu Galian. Seterusnya Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah untuk memperkasakan Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) untuk mengambil alih tugas- tugas khidmat nasihat teknikal dalam pengurusan mineral di Sabah menggantikan peranan Jabatan Mineral dan Geosains.
“Dengan langkah-langkah yang telah dan sedang diambil di atas maka Kerajaan Negeri akan tetap mempunyai kuasa mutlak ke atas perlesenan dan aktiviti perlombongan di Sabah,” katanya.


































