PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.
Menurut Utusan Malaysia, KWSP dalam kenyataannya memaklumkan, akaun ahli akan distruktur semula daripada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun.
Katanya, ini meliputi Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan dan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek.
Jelasnya, simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran serendah RM50.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya.
Beliau berkata, pada 11 Mei 2024, semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Katanya, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.
“Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).
“Antara 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.
“Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera,” ujarnya.
Tambahnya, Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.
“Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli,” ujarnya.
Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
Ahli yang masih belum mendaftar KWSP i- Akaun adalah digalakkan untuk melakukannya bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dapat dilaksanakan.

































