Hajiji ketika menyampaikan ucapan penggulungan untuk JKM.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, rancangan pembangunan di Pulau Gaya masih dalam peringkat perancangan.
Katanya, Kerajaan Negeri berpandangan Pulau Gaya perlu bersih, selamat, cantic dan mempunyai nilai yang tinggi untuk dijadikan pusat pelancongan.
“Berikutan dengan itu, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menyediakan penempatan baharu bagi penduduk-penduduk Pulau Gaya setelah mengambil kira semua aspek, terutamanya keselamatan awam,” katanya kepada pertanyaan Datuk Yakubah Khan (Karambunai) dan Datuk Junz Wong (Tanjung Aru) ketika menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini kelmarin.
SEDIA
Mengenai isu dan saranan berkenaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Koridor Wilayah Sabah (SEDIA) yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) dan Datuk Raime Unggi (ADUN Dilantik), Ketua Menteri memaklumkan, SEDIA) telah menjalankan kajian dan telah pun menyediakan Blueprint SEDIA 2.0 untuk tempoh 2021 sehingga 2030.
Jelasnya, di dalam blueprint tersebut ia telah mewujudkan tiga wilayah pembangunan dalam Koridor Pembangunan Sabah (SDC), iaitu Wilayah Barat terdiri dari 15 buah daerah, Wilayah Tengah merangkumi 4 buah daerah dan Wilayah Timur melibatkan 7 buah daerah.
“Terdapat 30 inisiatif Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang akan dilaksanakan secara spesifik di wilayah-wilayah yang berkaitan dan terdapat di antara inisiatif tersebut merentasi ke tiga-tiga wilayah berkenaan,” kata Hajiji.
Berkenaan pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), beliau berkata, Kumpulan Sawit Kinabalu memiliki saham 100 peratus dalam 30 anak syarikat milik penuh, saham majoriti dalam 5 syarikat usaha sama (Joint Venture) dan saham 40 peratus dalam syarikat Kalabakan Plantation SB dan Tongod Plantation SB (yang mempunyai usaha sama dengan Kementerian Kewangan Negeri Sabah) serta saham 30 peratus dalam Jususan Borneo.
Selain itu, Sawit Kinabalu juga merupakan pemegang Saham Amanah Sabah sejak 1998 dengan kos RM21 juta.
“Keuntungan Kumpulan Sawit Kinabalu selepas cukai dari tahun 1996 sehingga 2023 adalah sebanyak RM2.38 bilion. Sawit Kinabalu juga mengisytihar dividen kepada Kerajaan Negeri dan pembayaran dividen sehingga kini adalah berjumlah RM914.3 juta,” jelasnya.
Keselamatan Dan Pendatang Asing Tanpa Izin
Ketua Menteri berkata, isu keselamatan adalah merupakan keutamaan pada Kerajaan Negeri dan penting bagi menjaga kedaulatan negara dan memastikan situasi keselamatan di sempadan maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai mahupun sempadan daratan khususnya di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dalam keadaan baik dan terkawal.
Kepada pertanyaan Mohd. Shafie, Hajiji berkata, insiden kejadian di perairan Pantai Timur Sabah yang berlaku baru-baru ini merupakan cubaan kes samun yang terpencil, sambil menambah, berdasarkan rekod lima tahun kebelakangan ini hanya beberapa kes sahaja yang berlaku.
“Kejadian tersebut berlaku ketika musim perayaan semasa penduduk di kawasan sekitar sibuk keluar berhari raya dan membawa wang untuk membeli keperluan sempena perayaan. Keadaan tersebut menyebabkan jalan laut menjadi sibuk dan suspek menggunakan peluang ini untuk melakukan jenayah samun dan rompakan.
“Pada masa ini, pihak ESSCOM dan agensi keselamatan sedang menggiatkan operasi bagi mengesan suspek yang terlibat yang dipercayai telah melarikan diri keluar dari perairan negara. Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek terlibat dalam kes jenayah selain seorang daripada suspek tersebut turut dalam senarai orang yang dikehendaki oleh ESSCOM.”
Menurut Hajiji, semenjak ESSCOM ditubuhkan pada 1 April 2013, Kerajaan Negeri berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh pihak ESSCOM sebagai peneraju dan koordinator operasi pasukan keselamatan yang terdiri daripada elemen-elemen Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Agensi ini telah mengekang pencerobohan anasir asing ke wilayah ini telah membantu mengangkat semula imej wilayah Sabah terutamanya di kawasan pantai Timur Sabah sebagai selamat dan sejahtera untuk dikunjungi oleh pelabur atau pelancong asing.
“Di samping itu, ESSCOM juga turut membantu jabatan/ agensi penguatkuasaan dan keselamatan seperti Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia melalui pelbagai operasi bersepadu bagi membendung elemen jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan kontraban, barang kawalan, bersubsidi dan tanpa cukai serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).”
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam untuk membasmi isu PATI di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak bagi memastikan semua tangkapan yang dibuat akan diusir pulang ke negara asal masing-masing.
“Kerajaan Negeri melalui kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah mempunyai perancangan untuk menambah Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang baharu di Sabah bagi memperketatkan lagi kawalan sempadan daripada dimasuki PATI ke negeri ini.
“Kerajaan akan membina sebanyak empat buah pos kawalan PGA tahun ini iaitu Pos Poigon, Kalabakan, Pos Manalunan, Sandakan, Pos Kuala Maruap, Lahad Datu dan Pos Gabungan Sungai Haji Kuning Sebatik, Tawau. Manakala, enam buah pos kawalan PGA dalam perancangan dan masih menunggu kelulusan peruntukan adalah Pos Sungai Limau Sebatik, Tawau, Pos Bukit Keramat Sebatik, Tawau, Pos Long Pasia, Sipitang, Pos Alutok, Tenom, Pos Pensiangan, Nabawan dan Pos Pulau Bankawan, Kudat.
“Kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah juga giat mengadakan operasi dalam menangkap dan seterusnya mengusir pulang PATI ke negara asal.
“Berdasarkan statistik tangkapan dan pengusiran PATI oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, pada tahun 2024 (setakat 15 April 2024) seramai 2,603 orang PATI telah dihantar pulang ke negara asal. Manakala, pada tahun 2023 pengusiran PATI adalah seramai 8,678 orang dan pada tahun 2022 seramai 5,943 orang.”
Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kementerian Dalam Negeri KDN telah meluluskan permohonan membiayai pembinaan aset-aset strategik yang baharu di ESS Zone, antaranya pembinaan Kompleks Perumahan dan Bangunan Pentadbiran Batalion ke 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran; Pembinaan Pangkalan Bot Ronda Batalion 15 PGA di Sungai Seguntur, Sandakan dan Pembangunan Projek Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di Malawali, Kudat dan Sandakan di bawah APMM.
Selain itu, turut dikemukakan perolehan aset strategic berasaskan teknologi terkini dengan menggunakan unmanned aerial vehicle (UAV) di kawasan laut terbuka dan dron di lokasi yang spesifik bagi pemantauan dan pengesanan keselamatan yang berkesan di ESS Zone di bawah Rolling Plan 5 RMK12 Tahun 2025.
“Di samping itu, bagi menjamin keselamatan dan mengukuhkan keyakinan pengunjung pusat-pusat pelancongan dan peranginan di ESS Zone, ESSCOM telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan sistem aplikasi telefon pintar, Friends of Sabah, yang sedang dibangunkan oleh syarikat tempatan tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan serta aplikasi ini boleh digunakan oleh pelancong warga asing dan tempatan.”
Isu Bencana
Menjawab pertanyaan Alias Sani (Sekong) berhubung kebakaran yang berlaku pada tahun 2018 di Kg. Gas, Sandakan, Ketua Menteri berkata, Kerajaan melalui Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat yang melibatkan pelbagai agensi-agensi yang berkaitan untuk pelaksanaan projek Pembinaan Semula Rumah Mangsa Kebakaran.
Katanya, pembinaan semula rumah ini adalah berbentuk rumah papan dengan standard Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) iaitu sebanyak 100 buah rumah akan dibina di tapak asal lokasi kebakaran yang melibatkan kos sebanyak RM6 juta.
Berdasarkan status terkini yang dilaporkan oleh MPS, projek ini sedang dalam proses keputusan pemilihan kontraktor. Ini bermakna, projek ini akan dilaksanakan secepat mungkin.
Isu Perundangan
Kepada satu lagi pertanyaan daripada Bung Moktar, Hajiji berkata kes-kes yang telah difailkan di Mahkamah terhadap Kerajaan Negeri bagi tempoh 5 tahun dari tahun 2019 sehingga 2023 adalah sebanyak 491 kes.
“Dalam tempoh 5 tahun tersebut, kes yang telah dimenangi oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak 110 kes termasuklah kes-kes yang telah dibuang dan diketepikan oleh Mahkamah. Kes yang kalah adalah sebanyak 3 kes. Manakala, sebanyak 378 kes pula adalah kategori kes di mana Kerajaan Negeri mematuhi perintah Mahkamah (abide by the court decision), kes digugurkan oleh Mahkamah, perintah persetujuan dan kes-kes yang masih berjalan sehingga kini.
“Untuk makluman, kebanyakan kes yang diterima adalah kes terhadap Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Air Negeri Sabah.
“Bagi kes-kes terhadap Jabatan Tanah dan Ukur sepanjang tempoh tahun 2019 sehingga tahun 2023, sebanyak 221 kes difailkan terhadap Jabatan Tanah dan Ukur. Kebanyakan kes adalah melibatkan pengambilan tanah terutamanya pengambilan tanah bagi tujuan projek Lebuhraya Pan Borneo dan juga pembangunan-pembangunan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Bagi kes-kes terhadap Jabatan Air Negeri Sabah pula, kebanyakan kes tersebut adalah melibatkan kerja-kerja yang telah dilaksanakan namun pembayaran tidak dapat dibuat. Punca utama tunggakan pembayaran tersebut terjadi adalah disebabkan oleh dokumen-dokumen yang tidak lengkap untuk tujuan pembayaran.
“Hal ini berlaku apabila dokumen-dokumen tersebut telah disita oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan kes Jabatan Air Negeri Sabah sehingga menyebabkan pembayaran kepada kontraktor-kontraktor tidak dapat dilaksanakan. Sebanyak 120 kes Jabatan Air Negeri Sabah telah diterima yang melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM14,725,116.41.
“Sukacita dimaklumkan bahawa kesemua kes-kes ini telah berjaya diselesaikan dan telah dibayar.”
Isu Tanah Dan Pewartaan
Berhubung pertanyaan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah melaksanakan pengukuran kaedah PANTAS di Kampung Kiau sejak tahun 2019 dan telah selesai pada bulan Februari 2024, di mana sejumlah 1,209 lot dengan keluasan 493.55 hektar telah selesai dijalankan.
“Pengukuran Program PANTAS di Kampung Tambatuon juga telah mendapat kelulusan dan pengukuran telah mula dijalankan pada awal bulan April 2024 dan dijangka selesai pada bulan Disember 2024.
“Bagi Kampung Sayap, Kampung Terintidon, Kampung Lobong-Lobong, Kampung Kaung, Kampung Tombotuan, Kampung Malangkap dan Kampung Lasou, Jabatan Tanah dan Ukur akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan lapangan untuk menentukan sama ada pengukuran kaedah PANTAS boleh dilaksanakan atau sebaliknya. Jabatan Tanah dan Ukur sehingga bulan April 2024 ini telah menerima peruntukan berjumlah RM10 juta untuk Program Pengukuran PANTAS yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.”
Berkenaan isu pengeluaran notis pengosongan tanah kepada 43 pemilik rumah di Kampung Cenderamata oleh Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Sandakan yang dibangkitkan oleh Alias, Hajiji berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Tanah dan Ukur di bawah Ordinan Tanah.
“Ini termasuklah penguatkuasaan ke atas pendudukan yang tidak sah di atas tanah kerajaan termasuklah tanah simpanan untuk pembinaan jalan raya. Pengeluaran notis yang dikeluarkan oleh PPHT Sandakan pada 13 Februari 2024 adalah notis awalan (soft notice) kepada pihak yang dipercayai menduduki tanah simpanan kerajaan tersebut. Notis ini akan disusuli dengan notis akhir dan tindakan penguatkuasaan yang sejajar dengan keperluan Ordinan Tanah. Kerajaan Negeri sentiasa peka dan memberi keutamaan dalam mewartakan tanah rizab perkampungan dan tanah rizab bagi tujuan penempatan.”
Kepada pertanyaan daripada Junz, Hajiji berkata, keperluan penyediaan kawasan lapang (open space) adalah di bawah Town and Country Planning Ordinance Cap.141.
Jelasnya, kawasan lapang yang dihasilkan daripada pembangunan tanah seperti perumahan dan lain-lain akan diserah atau dipindah milik kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk pengurusan dan penyelenggaraan kawasan lapang tersebut.
Mengenai pewartaan kampung terutama di Pulau Gaya yang juga dibangkitkan oleh Junz, Ketua Menteri berkata, Kampung Lok Urai dahulunya dikenali sebagai Native Reserve Kampung Pulau Gaya dan diwartakan melalui GN.193/1972 seluas 41 ekar di bawah Seksyen 78, Ordinan Tanah Sabah Bab 68. Kampung Kasuapan telah pun diukur dengan anggaran seluas 25 ekar dan juga dicadangkan untuk pewartaan di bawah Seksyen 28, Ordinan Tanah Sabah Bab 68.
Manakala, Kampung Pulau Gaya, Kampung Lobong dan Kampung Pondo tidak dapat diproses untuk pewartaan kampung kerana keseluruhan kawasan adalah termasuk dalam kawasan cadangan untuk diwartakan sebagai Reservation of Areas of Sand & Coral dengan lot ukur bil.01200575 melalui pelan warta P.99197154.
“Yang lain sudah diwarta,” katanya.
Isu Perhutanan
Mengenai pertanyaan Jamil Hamzah (Bugaya), Hajiji berkata, Kerajaan Negeri maklum dan memahami kebimbangan mengenai rumah-rumah di Kampung Sungai Nasip yang dibina dalam kawasan Hutan Simpan Semporna Kelas V, termasuk jalan raya yang juga merupakan sebahagian daripada kawasan hutan simpan.
Jabatan Perhutanan Sabah juga telah memberikan nasihat lisan kepada penceroboh dalam perkara ini dan akan menjalankan Kajian Social Baseline Survey (SBS) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penduduk di kawasan tersebut.
“Kawasan Hutan Simpan adalah hak Kerajaan Negeri serta rakyat Sabah keseluruhannya yang perlu dilindungi mengikut Undang-Undang yang termaktub di bawah Enakmen Hutan 1968 yang tidak boleh diduduki atau didiami oleh mana-mana pihak atau individu atas kepentingan peribadi. Walau bagaimanapun, sekiranya pendudukan tersebut adalah penduduk asli dan bersifat native, pertimbangan boleh dibuat mengikut laras undang-undang yang berkuat kuasa. Sekiranya ia adalah pendudukan baharu, mereka hendaklah diarahkan untuk keluar agar kawasan hutan simpan tersebut terpelihara serta tidak diceroboh sewenang-wenangnya.
Isu Penyampaian Perkhidmatan
Berhubung perkara yang dibangkitkan oleh Bung Moktar berkaitan peranan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Ahli Lembaga Pengarah (Board of Director) dalam beberapa agensi, Hajiji berkata, perlantikan pegawai-pegawai Kerajaan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai ex-officio untuk memenuhi keperluan enakmen bagi badan-badan berkanun negeri atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
Menjawab soalan Datuk Jonnybone Kurum (Telupid) dan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan berusaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dari semasa ke semasa. Penjawat awam merupakan pelaksana kepada dasar-dasar dan program-program yang telah direncanakan oleh kerajaan di semua peringkat.
“Justeru, saranan yang diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat akan diambil perhatian. Kerajaan akan memastikan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan sentiasa dipertingkatkan melalui kursus atau latihan yang bersesuaian bagi mempermudahkan urusan berkaitan dengan rakyat.
“Saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam yang merupakan tulang belakang pelaksana dasar dan program yang ditetapkan oleh kerajaan.”
Isu Program Komuniti MADANI
Mengenai pertanyaan Datuk Raime Unggi (ADUN Dilantik) berkaitan program komuniti MADANI, Hajiji berkata, Dana Komuniti MADANI sebanyak RM1 bilion telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa Ucapan Bajet 2024 pada 13 Oktober 2023 yang mana Jemaah Menteri pada 24 Januari 2024 bersetuju dengan penjenamaan semula dana ini kepada Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
“Program SejaTi MADANI di bawah seliaan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU), Jabatan Perdana Menteri ini akan menyediakan geran antara RM50,000 sehingga RM100,000 kepada komuniti-komuniti di seluruh Malaysia.
“Objektif utama pelaksanaan Program SejaTi MADANI adalah untuk memperkasakan aktiviti ekonomi komuniti, meningkatkan pendapatan setempat dan memanfaatkan seluruh komuniti melalui pelaksanaan program yang bersesuaian dengan keperluan sebenar masyarakat. Pelaksanaan program tidak memfokuskan kepada mana- mana kawasan di negeri Sabah,” katanya, sambil menambah ianya terbuka kepada semua komuniti-komuniti berdaftar selagi mana cadangan program termasuk seperti berikut:
(i) Pertanian dan Makanan;
(ii) Jahitan dan Kraftangan;
(iii) Herba dan Kesihatan;
(iv) Pelancongan dan Hospitaliti; dan
(v) Aktiviti Hijau dan Kitar Semula.
Beliau berkata, maklumat lanjut dan membuat permohonan melalui laman sesawang sejatimadani.icu.gov.my.
Untuk Sabah, katanya, komuniti-komuniti yang berminat boleh mendapatkan kelonggaran diberikan untuk mengemukakan permohonan secara manual kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Permohonan Program SejaTi MADANI secara rasmi telah dibuka pada 25 Mac 2024 di seluruh negara.
Sehingga 24 April 2024, bagi negeri Sabah terdapat 8 permohonan yang diterima dan 3 daripadanya telah diluluskan, kata Hajiji.


































