Tangkap layar satu rakaman video menunjukkan orang ramai mengerumuni sebuah kereta yang dikatakan membunyikan hon dengan kuat ketika istiadat pengebumian salah seorang mangsa nahas helikopter sedang dijalankan di Sungai Nibong, George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Polis mengesahkan menerima satu laporan mengenai kekecohan di hadapan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini semalam membabitkan sebuah kereta jenis Honda yang dikepung oleh orang ramai.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan insiden kekecohan yang berlaku di atas jalan raya semasa istiadat pengebumian mangsa nahas helikopter, Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, semalam dan kejadian itu mendapat perhatian umum.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid, laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Dalam hal ini, polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis dan menggugat kententeraman,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian malam tadi, tindakan seorang pemilik kereta jenis Honda membunyikan hon untuk tempoh yang lama ketika istiadat pengebumian berkenaan telah mengundang kemarahan orang ramai yang berada di hadapan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar itu.
Berang dengan tindakan pemandu kereta tersebut, mereka kemudian bertindak mengepung kenderaan terbabit. Bagaimanapun, kejadian itu berjaya dikawal oleh pihak polis dan tentera yang berada di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, Razlam berkata, siasatan awal mendapati, pemilik kereta itu yang juga seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun telah terlanggar sebuah motosikal di bahagian kanan kereta semasa melalui jalan di hadapan masjid berkenaan kira-kira pukul 7.45 malam.
“Pada masa yang sama, pemilik kereta ini mendapati ramai orang telah mengepung keretanya, dan dia turut dikepung oleh motosikal di bahagian kanan kereta.
“Pengadu mendapati ramai orang awam telah mengepung keretanya dan dia telah tertekan hon kereta akibat panik dengan kejadian itu. Secara tiba-tiba keretanya telah dikerumuni oleh orang ramai dan kereta tersebut juga mengalami sedikit kerosakan,” katanya.
Tambah Razlam, kekecohan itu bagaimanapun telah berjaya dileraikan oleh anggota polis serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang turut berada di tempat kejadian.
“Untuk makluman, semasa istiadat pengebumian berlangsung, pengadu mengaku bahawa dia tidak tahu tentang istiadat tersebut dan secara tidak sengaja tertekan hon kereta,” katanya.

































