Jahid Jahim
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi fokus utama kepada program pembangunan pada tahun ini untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya dalam pembasmian kemiskinan penduduk di luar bandar.
Menteri, Datuk Jahid Jahim berkata, Kementerian akan terus memperkasa dan memantapkan pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan di luar bandar sebagai usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk luar bandar.
“Sehubungan dengan itu, Kementerian saya melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya akan terus memperhebatkan pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk luar bandar yang amat memerlukan iaitu agihan sejumlah 20 unit Rumah Mesra SMJ setahun kepada setiap 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika menggulung untuk Kementerian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini kelmarin.
Bagi memperkasa pentadbiran daerah, Jahid berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan pewujudan Pejabat Daerah Kecil Sukau dan menaik taraf Pejabat Daerah Kecil Sook dan Pejabat Daerah Kecil Paitan kepada pejabat daerah penuh.
Katanya, pewujudan pejabat daerah kecil baharu dan penaiktarafan pejabat daerah kecil ke pejabat daerah penuh akan dapat memantapkan peranan sebagai pentabdbiran daerah untuk membantu rakyat luar bandar dan memudahkan urusan masyarakat luar bandar bagi mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
“Kementerian saya tidak sahaja memberi tumpuan dalam pembasmian kemiskinan di lapan daerah miskin tersebut tetapi juga memberi tumpuan kepada seluruh daerah di Sabah dalam menangani isu kemiskinan,” jelasnya.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Kementerian saya amat prihatin dengan isu kemiskinan tegar di Sabah dan telah mengambil pelbagai strategi, inisiatif dan bantuan kepada seluruh daerah dengan memberi sokongan bagi meningkatkan akses kepada peluang ekonomi untuk mengatasi isu pembasmian kemiskinan.
Antaranya:-
I. Pembinaan enam buah Pusat Kemahiran Masyarakat sebagai Pusat Pembangunan dan Latihan Keusahawanan di Daerah Sipitang, Ranau, Semporna, Menumbok, Matunggong dan Kota Kinabalu dengan tujuan membantu meningkatkan potensi kemahiran golongan miskin;
Ii. Pembinaan 11 buah Pusat Keusahawanan Desa (PKD) yang dilengkapi dengan bangunan bengkel dan peralatan mesin di Daerah Beluran, Kota Belud, Kudat, Pitas, Lahad Datu, Ranau, Matunggong, Nabawan, Penampang, Keningau, dan Kuala Penyu. PKD adalah bertujuan untuk membuka peluang kepada golongan usahawan dibawah bimbingan KPLBS bagi meningkatkan pengeluaran produk dan mengembangkan perniagaan mereka;
iii. Program keusahawanan berasaskan pertanian seperti penanaman sacha inchi dan pisang saba di Daerah Ranau; dan program penternakan burung walit secara bersasar mengikut keperluan dan kesesuaian di daerah tersebut iaitu di Daerah Pitas, serta Daerah Kecil Banggi;
iv. Program kursus kemahiran dilaksanakan kepada masyarakat luar bandar adalah selaras dengan misi Kementerian untuk mensejahterakan masyarakat luar bandar melalui usaha-usaha pembasmian kemiskinan dan melahirkan usahawan yang berjaya serta dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, pendapatan diri dan keluarga;
v. Program Satu Daerah Satu Produk (SDSP) merupakan program untuk meningkatkan ekonomi usahawan luar bandar yang dijalankan secara berkelompok atau di premis sendiri. Program ini telah menggalakkan pengeluaran produk di setiap daerah masing-masing sebagai Flagship produk bagi sesebuah kampung / daerah tersebut.
vi. Projek MESEJ (Mini Estet Sejahtera) adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menangani isu kemiskinan di kawasan yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Program ini merupakan pendekatan pembasmian kemiskinan secara holistik meliputi penyediaan perumahan sementara dan komponen ekonomi iaitu perusahaan perladangan dengan tanaman komoditi iaitu kelapa sawit dan getah;
vii. Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) sebagai aktiviti tambahan kepada peserta-peserta MESEJ dan golongan eKasih yang bukan peserta MESEJ untuk menambah pendapatan ketika tanaman komoditi ladang MESEJ belum matang atau belum mendatangkan hasil;
viii. Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) bertujuan untuk membekal air bersih di kawasan kampung terpencil yang jauh daripada capaian Sistem Retikulasi Jabatan Air Negeri Sabah; dan
ix. Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) bertujuan untuk menampung pembekalan tenaga elektrik di luar bandar yang tidak dapat diliputi melalui sistem talian grid SESB.
Menjawab pertanyaan Jamil Hamzah (Bugaya), Jahid berkata KPLB telah melaksanakan pelbagai kursus kemahiran untuk meningkatkan pendapatan penduduk di DUN Bugaya.
Kementerian juga telah meneruskan Program Pelaksanan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), jelasnya, sambil menambah sejak tahun 2022 sehingga kini, sebanyak 60 unit Rumah Mesra SMJ telah dibina dan dalam pelaksanaan di DUN Bugaya.
Katanya, selain dari itu, Kementerian melalui Pejabat Daerah Semporna telah merancang pelbagai program pembasmian kemiskinan iaitu seperti berikut:-
i. Menyediakan kursus kemahiran seperti pembuatan kek, mee dan kursus kemahiran berasaskan pertanian yang sesuai dan boleh meningkatkan taraf hidup golongan eKasih;
ii. Untuk mengenalpasti dan membuka tanah- tanah yang tidak diusahakan untuk program Keterjaminan makanan (Food Security);
iii.Membantu menyelaraskan bantuan peruncitan, bengkel kereta dan bantuan nelayan untuk peningkatan pendapatan;
iv. Mengadakan taklimat dengan agensi-agensi yang berkenaan bagi memberi panduan dan pendedahan kepada golongan berdaftar dengan pangkalan sistem eKasih tentang kemudahan- kemudahan yang disediakan oleh kerajaan; dan
v. Melaksanakan profiling kepada ahli eKasih bagi menentukan tahap kemiskinan.
Mengenai cadangan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Usukan), Jahid memaklumkan, pangkalan data Sistem eKasih adalah di bawah kawalan dan seliaan Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).
Penyenaraian nama-nama dalam pangkalan data ini diperolehi dari Pejabat Daerah / Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) / Majlis Perbandaran. Dalam proses untuk memuktamadkan senarai ini, pihak ICU, JPM akan melakukan verifikasi di lapangan untuk menentukan kesahihan maklumat, tambahnya.
Kepada perkara dibangkitkan oleh Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin (Nabawan) dan Mohd. Tamin Zainal (Pantai Manis), Jahid berkata, setakat hari ini, sebanyak 4,500 unit Rumah Mesra SMJ telah dan sedang dalam pembinaan.
“Sebanyak 60 unit Rumah Mesra SMJ telah dan sedang dalam pembinaan di DUN Pantai Manis,” katanya, sambil menjelaskan kriteria sasaran penerima Rumah Mesra SMJ telah ditetapkan dalam Terma Rujukan Pelaksanaan Program Rumah Mesra SMJ iaitu:-
i. Berdaftar dalam pangkalan data eKasih; atau
ii. Mangsa bencana (banjir, kebakaran, tanah runtuh, taufan); atau
iii. Golongan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah; atau
iv. Rumah daif.
“Golongan penerima tersebut hendaklah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Focus Group Daerah (FGD),” katanya.


































