Anggota bomba berusaha menyelamatkan dua beradik masing-masing berusia empat serta enam tahun yang terkunci dalam sebuah kereta Perodua Viva di hadapan sebuah premis perniagaan di PD Waterfront PD, Port Dickson petang semalam. Gambar: Utusan/Ihsan Bomba
PORT DICKSON: Dua beradik masing-masing berusia empat serta enam tahun diselamatkan anggota bomba selepas kedua mereka terkunci dalam sebuah kereta Perodua Viva pada kejadian di hadapan premis perniagaan di PD Waterfront PD, di sini, petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.49 petang.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kedua beradik berkenaan terperangkap dalam kereta selepas kenderaan tersebut terkunci secara tiba-tiba ketika ibu mereka keluar membeli barang.
“Pasukan bomba sampai ke lokasi empat minit selepas aduan diterima. Setibanya di lokasi didapati benar terdapat dua kanak-kanak iaitu kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan lelaki berusia empat tahun terkunci dalam kereta.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) telah bertindak membuka pintu tersebut menggunakan peralatan dan mendapati kanak-kanak tersebut sedang tidur dan dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dalam satu perkongsian di Facebook memaklumkan anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) turut memberi bantuan mengeluarkan kedua kanak-kanak yang terperangkap itu.
































