Skuad ragbi wanita beraksi dalam satu perlawanan pemanas badan sebagai persiapan ke Kejohanan Tujuh Sebelah di Singapura 7 Mei ini.
PETALING JAYA: Skuad ragbi wanita negara hanya mempunyai tempoh 15 hari untuk mempersiapkan diri ke Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Asia Tenggara pada 7 Mei ini.
Walaupun tempoh yang diberikan begitu singkat, bagi ketua jurulatih kebangsaan, Faiz Shamsukhidir, ia bukan alasan untuk sekurang-kurangnya mencapai sasaran juara kumpulan.
Menurut Utusan Malaysia, Faiz berkata, cabaran mengumpulkan pemain yang datang dari seluruh negara, selain tempoh persiapan yang singkat menjadi cabaran besar buatnya untuk menyediakan skuad yang mantap sebelum bertandang ke Singapura yang menjadi tuan rumah kejohanan itu.
“Skuad ragbi wanita negara ketika ini sedang membuat persediaan bagi menghadapi kejohanan di Singapura itu sejak 15 April lalu di mana mereka di letakkan dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Laos manakala Kumpulan B dibarisi Singapura, Indonesia dan Filipina.
“Kejohanan tersebut yang sebelum ini mempunyai peringkat separuh akhir telah diubah formatnya apabila juara kumpulan terus beraksi ke final,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Faiz berkata, walaupun berdepan cabaran dalam mempersiapkan pasukannya namun beliau tidak menjadikannya sebagai alasan tetapi berusaha untuk membimbing skuad ragbi wanita negara muncul juara kumpulan.
“Kita ada masalah untuk mengumpulkan pemain sebab mereka berada di seluruh Malaysia. Ada dua pemain masing-masing datang dari Terengganu, Sarawak dan Sabah, selebihnya dari lain-lain negeri kerana kebanyakkan mereka adalah pelajar universiti.
“Kami ada lebih kurang 15 hari sebelum kejohanan dan masa amat singkat. Bagaimanapun, kami menetapkan final adalah sasaran kami kerana itu adalah peluang untuk kami disenaraikan dalam Program Podium,” katanya.
Sebagai persiapan, skuad bimbingan Faiz menentang Singapura dalam Cabaran Straits 7s di Johor, Sabtu lalu sebanyak tiga kali dan dalam kesemua perlawanan berpihak kepada pasukan ragbi wanita negara.


























