Skuad B-23 tumps 1-2 kepada Kuwait dalam aksi terkahir Kumpulan D Piala Asia B23 di Doha, Qatar.
PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menamatkan kempen Piala Asia B-23 2024 di tangga tercorot Kumpulan D selepas tewas 1-2 kepada Kuwait dalam aksi pelengkap jadual, pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, kekalahan itu menyaksikan anak-anak buah Juan Torres Garrido pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang mata daripada kejohanan berkenaan selepas turut mengalami kekalahan dalam dua perlawanan awal.
Dalam aksi di Stadium Al-Janoub itu, skuad negara pada mulanya dilihat lebih memberi ancaman kepada Kuwait dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-15 menerusi Luqman Hakim Shamsudin, namun dibatalkan kerana ofsaid.
Tindakan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman meluru keluar dan mengasari Salman Mohammed mengundang padah apabila penjaga gol negara itu dilayangkan kad merah, sekali gus memaksa skuad negara beraksi dengan 10 pemain.
Menggunakan kesempatan itu, Kuwait berjaya memecah kebuntuan di hujung babak pertama apabila Salman menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.
Bersambung pada babak kedua, pintu gol negara dibolosi buat kali kedua pada minit ke-60 menerusi tandukan Talal Alqisi seleps berjaya melepas kawalan pemain negara untuk Kuwait terus selesa didepan 2-0.
Malaysia berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-63 hasil percubaan Haqimi Azim Rosli sebelum kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain apabila Salman dilayangkan kad merah pada minit ke-81.
Untuk rekod, skuad negara melepas enam sepakan penalti dalam lima perlawanan di Qatar termasuk dalam dua perlawanan persahabatan menentang tuan rumah dan China.
































