Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), esok.
Menurut Utusan Malaysia, Sabah adalah lokasi kedua penganjuran majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri selepas Johor semalam.
Majlis dijangka bermula pukul 10.30 pagi itu akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan Kabinet negeri yang lain.
Sebelum menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri itu, Anwar yang merupakan Presiden PKR akan mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua cabang PKR Sabah bagi menyelesaikan isu Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Sebelum ini, 15 ketua cabang PKR di negeri ini menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mendesak Pengerusi MPN, Datuk Sangkar Rasam meletak jawatan sebagai pengerusi.
Perjumpaan bersama Anwar esok mungkin akan menyelesaikan pergolakan dalaman yang sedang berlaku dalam PKR Sabah.
Antara nama yang disebut-sebut boleh menggantikan Sangkar adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang merupakan Ketua Cabang Kota Belud.
































