KOTA BELUD: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk penggantian sekolah daif SK Tamu Darat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, rekabentuk bangunan telah siap dan pembinaan dijangka bermula Ogos tahun ini.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan pihak sekolah juga telah mengadakan lawatan tapak pada 3 Julai 2023.
“Sekarang dalam proses tander dan penggantian semula bangunan sekolah SK Tamu Darat dijangka bermula Ogos tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di beberapa sekolah rendah dan menengah di kawasan Kadamaian.
Fadhlina mengadakan lawatan ke Sabah untuk melihat sendiri isu-isu dan keperluan sekolah daif yang sering dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat di kawasan itu
Beliau diiringi oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dan Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin.
Ewon mengiringi Fadhlina melawat empat sekolah di Kadamaian yang memerlukan perhatian segera iaitu SK Rangalau, SRA Rangalau, SK Tamu Darat dan SMK Narinang.
Fadhlina berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 38 buah sekolah di kawasan Kadamaian dikategorikan sebagai sekolah daif.
“Di daerah Kota Belud ini sahaja, sebanyak 38 sekolah daif sedang kita beri perhatian sepenuhnya sama ada dalam pembinaan semula atau untuk penyelenggaraan.
“Lawatan ini sangat positif dan saya ucapkan terima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat kawasan ini iaitu Datuk Ewon sebagai Adun Kadamaian dan Munirah sebagai Ahli Parlimen kerana turut bersama dalam lawatan ini dan banyak berkongsi apa keperluan sekolah-sekolah di sini,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, KPM telah memperuntukkan RM59 juta untuk menyelenggara institusi pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, melibatkan 1,200 projek.
‘Penyelenggaraan ini memang sentiasa berterusan, mana-mana sekolah yang memerlukan, peruntukan itu memang kita berikan.
“Ada peruntukan khusus misalnya tahun lepas untuk pembinaan tandas sekolah dan tahun ini kita akan mulakan tandas-tandas SBK (Sekolah Bantuan Kerajaan), penyelenggaraan ini kita buat di seluruh negara.
“Sabah memang sentiasa menerima peruntukan terbesar daripada kerajaan, tahun ini sahaja sebanyak RM59 juta telah diperuntukkan untuk penyelenggaraan institusi pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas tindakan segera membantu menangani isu berkaitan kemudahan pembangunan sekolah, di DUN Kadamaian.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebagai wakil rakyat kawasan itu, tanggungjawabnya adalah untuk mencari jalan penyelesaian keperluan sekolah selain memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan dan koperasi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada saudari Fadhlina (Sidek) kerana sudi menerima undangan untuk mengadakan lawatan lapangan di kawasan DUN Kadamaian untuk meninjau empat buah sekolah iaitu tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.
“Tinjauan lapangan itu bertujuan untuk melihat sendiri permasalahan yang sentiasa saya bangkitkan dengan beliau dan dibangkitkan juga di Dewan Rakyat.
“Dalam banyak perbincangan kami sebelum kabinet, beliau telah bersetuju untuk memenuhi undangan dan hari ini beliau sendiri melihat dan menurunkan peruntukan-peruntukan segera dan juga peruntukan besar termasuk di SK Tamu Darat,” katanya.
“Bagi pihak rakyat Kadamaian khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG ) dan guru-guru, saya mengucapkan terima kasih kepada YB Fadhlina dan Kementerian Pendidikan Malaysia di atas tindakan yang telah diambil untuk membantu wakil rakyat di sini menangani isu berkaitan kemudahan pembangunan pendidikan.
“Saya berharap sekolah-sekolah lain bukan hanya di DUN Kadamaian dan Penampang tetapi seluruh Sabah dan negara mendapat pembelaan.
“Kerajaan ini adalah kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat dan memberi tumpuan besar kepada pembangunan sekolah,” katanya.
































