Georgie melakukan tinjauan di salah sebuah pasar raya di Kota Kinabalu sempena hari terakhir SHMMP Hari Raya Puasa 2024.
KOTA KINABALU: Sebanyak tiga tindakan kes telah diambil daripada 673 premis perniagaan yang diperiksa di seluruh Sabah sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2024.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Georgie Abas berkata, dua daripada premis tersebut diambil tindakan atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga warna merah jambu bagi barangan yang termasuk dalam senarai barangan harga terkawal manakala satu premis lagi bagi kesalahan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.
Ketiga-tiga premis telah dikenakan Kompaun On The Spot (KOTS) yang mana dua daripada mereka telah menjelaskan kompaun tersebut manakala satu lagi premis belum dan diberi masa 14 hari untuk menjelaskan kompaun, tambahnya.
Beliau berkata demikian semasa melaksanakan tinjauan di salah sebuah pasar raya di Kota Kinabalu sempena hari terakhir SHMMP Hari Raya Puasa 2024 yang mula berkuat kuasa pada 5 April 2024.
Beliau turut memaklumkan tiada sebarang aduan khusus berkenaan salah laku peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan mahupun kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal yang diterima oleh KPDN Sabah sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa 2024 berlangsung.
Untuk rekod, tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum hari perayaan, dua hari pada hari perayaan dan lapan hari selepas hari perayaan.
Sebanyak 19 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024 di Sabah. Senarai barangan adalah seperti berikut:
i. Daging Kerbau Import (India)
ii. Tomato
iii. Cili Merah
iv. Kubis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis
Beijing)
v. Kacang Tanah
vi. Sawi Hijau
vii. Timun
viii. Bawang Merah Besar Import
ix. Bawang Kuning Besar
x. Bawang Putih (China)
xi. Ubi Kentang Import (China)
xii. Cili Kering Kerinting
xiii. Kacang Tanah
xiv. Halia Tua Import
xv. Kelapa Biji (Borong Sahaja)
xvi. Kelapa Parut (Runcit Sahaja)
xvii. Ikan Kembung Termasuk Ikan Mabung (berat antara 8 ekor hingga
12 ekor setiap kilogram)
xviii. Ikan Selayang (Berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram)
xix. Ikan Demudok atau Sagai atau Cermin atau Cupak (berat antara 3 ekor hingga 5 ekor setiap kilogram)
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku peniaga semasa berurusniaga boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada kementerian melalui saluran berikut untuk siasatan dan tindakan sewajarnya:
i. WhatsApp iaitu 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800, dan;
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN
































