PETALING JAYA: Seorang lagi individu diburu selepas terbabit dalam kejadian samun lelaki warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak pada 7 April lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu berkenaan adalah suspek kelapan kejadian samun itu.
Kata beliau, suspek adalah orang awam dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes samun ini.
“Tujuh individu yang ditahan reman termasuk lima pegawai polis sebelum ini sudah direman maksimum dan kini dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.
Menurutnya, pihaknya juga berjaya memperoleh semula wang tunai berjumlah RM142,000 dan RM3,500 (27,000 baht) yang dipercayai disamun daripada mangsa.
“Siasatan kini dalam peringkat untuk membuat keputusan sama ada boleh dituduh atau tidak,”jelasnya.
Pada 9 April lalu, media melaporkan tujuh individu termasuk lima anggota polis ditahan selepas menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah residen di Jalan Tun Razak.
Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes samun dan menyamar polis membabitkan seorang lelaki warga asing yang mengalami kerugian jam tangan dan wang tunai.
Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
































