Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pemberian hadiah percuma dari rumah ke rumah yang dipercayai taktik terbaharu sindiket penipuan.
Ini berikutan video tular baru-baru ini menunjukkan hadiah berupa botol air yang diagihkan mempunyai cetakan kod pengimbas (kod QR).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Bukit Aman), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kod QR itu akan membolehkan orang ramai memenangi kupon tunai bernilai RM200.
Katanya, hakikatnya apabila diimbas, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan yang kemudiannya akan mengakibatkan mereka kehilangan wang daripada akaun bank.
“Adalah diingatkan ini merupakan satu cubaan penipuan melalui kaedah ‘phishing’ dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengimbas kod QR yang diberikan.
“Walaupun setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima berkenaan modus operandi sebegini, namun taktik ini harus dihebahkan kepada setiap lapisan masyarakat sebagai informasi dan langkah pencegahan,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Pada 13 April lalu, sebuah portal melaporkan sindiket penipuan didakwa menggunakan taktik memberikan hadiah percuma dengan mengagihkannya dari rumah ke rumah walaupun barang itu tidak dipesan.
Perkongsian tular di aplikasi WhatsApp menunjukkan satu rakaman seorang lelaki mendakwa mendapat hadiah botol air atau tumbler percuma yang diletakkan di pintu pagar rumahnya.
Apa yang mencurigakan ialah kod QR pada botol air itu yang turut didatangkan dengan ayat ‘pancing’ kononnya orang ramai boleh memenangi kupon tunai apabila mereka berbuat demikian.
































