Rafie Robert
KENINGAU: Peminat dan penyokong Kelab Bolasepak Sabah (Sabah FC) di Pedalaman berpeluang menyaksikan sendiri kelibat kesebelasan pemain Sang Badak yang akan bertandang ke Kompleks Sukan Keningau, di sini, Selasa depan (23 April).
Pengurus Pasukan Sabah FC yang juga Presiden Keningau FA, Rafie Robert berkata, Keningau merupakan destinasi pertama jelajah perlawanan pasukan Sabah FC yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Keningau FA pada jam 7 malam hari tersebut.
“Selepas Keningau , jelajah perlawanan ini akan diteruskan ke dua daerah lain iaitu Sandakan dan Tawau.

Rafie (kanan) ketika meninjau keadaan padang Kompleks Sukan Keningau.
“Ini merupakan peluang keemasan peminat dan penyokong kepada pasukan Sabah FC untuk menyaksikan sendiri pasukan kesayangan mereka beraksi di Pedalaman,” kata Rafie ketika ditemui media di sini Selasa lalu.
Beliau berkata, pasukan Keningau FA amat teruja dengan perlawanan persahabatan ini dan berharap pemain di bawah bimbingan jurulatih Well Apin akan turut mempamerkan aksi terbaik.
“Jelajah ini merupakan penghargaan kepada semua lapisan penyokong di negeri ini selain pemangkin semangat untuk pasukan Sabah FC untuk berentap lebih baik dan lebih bersemangat pada perlawanan di peringkat seterusnya,” tambahnya.
Rafie juga yakin di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, pemain Sang Badak mampu mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan liga akan datang, seterusnya membolehkan mereka menjulang dan membawa piala kemenangan merentas Laut China Selatan.
































