Farah Cie nyaris ditembak suaminya jika pengawal peribadi beliau tidak bertindak tangkas menghalang kejadian itu.
PETALING JAYA: Isteri kepada lelaki yang melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu, Farah Md. Isa kini dalam keadaan selamat.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkan oleh wakil kepada Farah atau lebih dikenali sebagai Farah Cie.
Menurutnya, Farah tidak tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana sebarang perkembangan perlu dirujuk berdasarkan kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Terima kasih atas keprihatinan isu terkini mengenai Hajah Farah.Terima kasih juga atas doa dan sokongan. Hajah Farah dalam keadaan selamat, doakan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Dalam pada itu, Farah mengesahkan akaun Facebook menggunakan nama Farah Cie Al Haramain adalah palsu.
Kelmarin, polis berjaya menahan suspek utama, Hafizul Harawi di Jalan Bayam, Kota Bharu, kelmarin, selepas 36 jam melarikan diri.
Hafizul, 38, disyaki mahu melarikan diri ke Mekah melalui Thailand berdasarkan rampasan yang dibuat polis membabitkan sejumlah wang tunai dalam mata wang asing riyal dan baht.
Polis turut merampas pistol jenis Glock 19 Austria bersama 33 biji peluru hidup, mercun bola, enam telefon bimbit, pasport, serta empat keping kad pengenalan milik orang lain.
Susulan itu, suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Suspek kemudian dibawa menaiki pesawat King Air B300 milik PDRM dari Kota Bharu, Kelantan ke Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Subang, dan tiba 2.15 petang.
Selepas itu, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam untuk siasatan lanjut.
































