Rakaman video lori melanggar palang besi bagi mengelak daripada merempuh kenderaan lain di hadapannya.
GERIK: Seorang pemandu lori sanggup menggadai nyawa sendiri dengan melanggar besi penghadang jalan bagi mengelak daripada merempuh deretan kenderaan di hadapannya dalam kejadian berhampiran Kampung Air Panas, di sini kelmarin.
Menerusi dua rakaman kamera papan pemuka berdurasi satu minit yang tular dalam media sosial, tindakan pantas pemandu lori itu menyelamatkan deretan kenderaan lain di hadapannya yang sedang berhenti menunggu giliran sementara kerja-kerja pembaikan jalan sedang dijalankan di hadapan.
Difahamkan, pemandu lori berkenaan tidak cedera.
Sementara itu, rakaman yang dikongsikan Ayern Nazz di laman Facebook mendapat maklum balas positif orang ramai yang memuji tindakan berani pemandu lori yang sanggup menggadai nyawa sendiri berbanding merempuh kenderaan di hadapannya.
“Terbaiklah pemandu lori, apa-apa pun sanggup lari jauh daripada membunuh nyawa orang lain,” ujar Sabri Gerik.
“Betul, memang terbaik pemandu lori sanggup korbankan nyawa sendiri daripada kena orang lain. Alhamdulillah tiada apa-apa kecederaan,” kata Aufa Rosli.
“Apa-apa pun terbaik pemandu lori ambil keputusan yang tepat, tidak hentam kereta,” kata Mohd. Hafizuddin pula.
“Kiranya hari ni paling jauh aku tengok pengawal bendera duduk, selalu dekat dengan orang buat kerja. Pemandu lori cuba yang terbaik untuk tidak merempuh kenderaan lain walaupun risiko terbalik ada sebab gaung sebelah sahaja. Depan tahfiz ini kalau bawa laju, boleh terbang (terbabas) dengan (keadaan jalan) berlopak,” komen Irwan Johari.
Difahamkan, pemandu lori berusia 29 tahun itu telah pun membuat laporan polis berkaitan kejadian pada pukul 5 petang kelmarin.
































