Sarjit Singh akan memuktamadkan skuad hoki lelaki kebangsaan kepada 18 pemain selepas perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Ipoh pada 1 Mei ini.
PETALING JAYA: Tiga pemain hoki kebangsaan kini kesuntukan masa bergelut dengan kecederaan bagi merebut tempat ke Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bulan depan.
Menurut Utusan Malaysia, jurulatih kebangsaan Sarjit Singh berkata, pemain pertahanan kebangsaan Arif Syafie Isham mengalami kecederaan buku lali manakala dua lagi pemain tengah Mughni Kamal dan T. Naaveennash.
“Kecederaan mereka tidak serius. Saya berharap mereka cepat pulih kerana saya tahu prestasi mereka ketika latihan mahukan berada dalam skuad untuk ke Piala PSAS.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain sedang menjalani pemulihan. Esok kami akan mengadakan latihan petang selepas cuti beberapa hari berikutan perayaan Aidilfitri,” katanya.
30 pemain Speedy Tigers sedang menjalani latihan pusat fasa kedua sebelum Sarjit akan memendekkan senarai kepada 18 pemain selepas menentang pasukan nombor 10 dunia, New Zealand pada aksi persahabatan 1 Mei depan.
Pakar pukulan sudut, Faizal Saari bersama adiknya Fitri Saari kini di Bangladesh bermain untuk kelab Mohammedan Sporting Club (SC) akan pulang ke tanah air minggu depan bagi menjalani latihan kebangsaan.
Faizal mendahului carta jaringan untuk kelab terbabit dengan 13 gol, manakala pemain tengah Fitri, yang menyertai Mohammedan pada 27 Mac lalu, menjaringkan lima gol dalam tujuh perlawanan.
Selain Piala PSAS, Speedy Tigers bakal lalui cabaran ketat mengharungi dua lagi kejohanan menerusi Piala Negara-negara 2024 di Gniezno, Poland (31 Mei-9 Jun) dan Piala Asia 2024 di Hulunbuir, Mongolia (8-17 September).
































