Aira Azman
PETALING JAYA: Selepas kejayaan S. Sivasangari merangkul kejuaraan Kejohanan Klasik London, Aira Azman menjadikannya sebagai inspirasi untuk tidak berasa rendah diri ke atas pemain-pemain dari Mesir pada Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir, Jumaat ini.
Menurut Utusan Malaysia, naib juara remaja dunia 2023 itu berkata, kejayaan pemain skuasy nombor satu negara itu bukan sahaja mengharumkan nama di persada antarabangsa, malah memberi satu motivasi kepada barisan pemain negara dan dirinya mampu mencipta kejutan seperti itu.
Menurutnya, dia tidak gementar berdepan dengan pemain dari Mesir yang rata-ratanya hebat, malah 20 daripada 48 pencabar dalam kejohanan itu merupakan pemain tuan rumah.
“Sivasangari banyak menunjukkan kepada kami (barisan pemain) bahawa kita boleh melakukan apa yang beliau boleh. Sebagai pemain senior mahupun junior, saya bangga dan berharap dapat melakukan perkara yang sama,” katanya.
“Pemain Mesir pun akan gementar kerana kita pemain dari Malaysia sentiasa memberi mereka tentangan yang sengit. Saya sudah merancang strategi permainan bersama jurulatih menjelang kejohanan nanti,” kata Aira.
Sivasangari sebelum ini mengejutkan dunia skuasy selepas menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini dari Mesir di suku akhir Kejohanan Klasik London baru-baru ini.
Berbekalkan semangat tidak mengalah, pemain berusia 25 tahun itu terus melakar kemenangan menewaskan pemain nombor dua dunia yang juga dari Mesir, Hania El Hammamy untuk merangkul gelaran sulungnya di kejohanan terbabit.
Aira bersama Sivasangari, Rachel Arnold dan kakaknya Aifa Azman akan berlepas ke Mesir, bagi menyertai Kejohanan Antarabangsa El Gouna, yang akan bermula 19 April hingga 26 April ini.
Pemain kelahiran Kedah itu akan membuka tirai saingan kejohanan terbabit bertemu pemain Mesir, Hana Ramadan yang kini menghuni ranking ke-31 dunia.
Aira kini menghuni di tangga ke-41 dunia dan mereka belum pernah bertemu di pentas antarabangsa menjadikan peluang tipis kepada kedua-dua pemain berkenaan.

































