Razarudin Husain
PETALING JAYA: Polis dalam tindakan memperoleh maklumat daripada ahli keluarga dan kenalan Hafizul Harawi yang melarikan diri selepas melepaskan dua das tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, maklumat itu adalah penting bagi mengesan kedudukan dan keberadaan Hafizul.
Kata beliau, setakat ini, usaha mengesan lelaki berkenaan masih giat dilakukan termasuk mengenal pasti lokasi-lokasi yang berkemungkinan suspek tuju untuk bersembunyi.
“Kita akan kumpul maklumat yang diperlukan bagi mengesan keberadaannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai dakwaan mengatakan keberadaan Hafizul di Mekah ketika hari kejadian, Razarudin menafikan perkara itu.
“Suspek telah pun dikenal pasti oleh saksi utama di lokasi kejadian dan pihak polis berusaha kesan dia,” jelasnya.
Razarudin berkata, kawalan di sempadan negara termasuk di lorong-lorong tikus turut diperketatkan bagi memastikan Hafizul tidak meloloskan diri ke negara jiran.
“Kita (polis) juga telah mengedarkan foto suspek di semua pintu masuk negara di utara tanah air dan pihak berkuasa negara jiran,” katanya.
Dalam kejadian 1.20 pagi itu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi.


































