Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sedang meneliti untuk menggubal satu Akta Muzik bagi menjaga kebajikan penggiat industri berkaitan di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan golongan berkenaan merupakan penyedia kandungan terbanyak untuk radio dan televisyen.
“Beberapa perkara asas yang perlu diperkukuh, termasuk sudut pemahaman perundangan kerana ramai artis baru yang kurang kefahaman sebelum menandatangani sesebuah kontrak.
“Apa yang berlaku kepada penyanyi Kaka Azraf contohnya besar impaknya kepada lagu-lagu yang pernah dia nyanyikan. Itu turut memberi kesan kepada bayaran royalti dan sebagainya.
“Kalau kita ada akta khusus untuk muzik, aspek ini boleh diketengahkan. Menjadikan industri muzik ini lebih mapan,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas menziarahi penyanyi, Zaiton Sameon sempena program Ziarah Seni MADANI Finas, kelmarin.
Beliau terdahulu turut menziarahi pengarah Salehudin Ridzwan atau Din Glamor di Bukit Antarabangsa, dekat sini.
Mengulas perkara sama, Fahami memaklumkan pihak kementerian Komunikasi sedang bekerjasama dengan MyCreative Ventures untuk mendapatkan cadangan bagi penggubalan akta tersebut.
“Saya sebelum ini telah menerima beberapa cadangan. Tetapi cadangan-cadangan tersebut boleh ditambah baik menerusi penglibatan pihak industri dan akademik bagi memberi kefahaman yang lebih menyeluruh berkaitan aspek yang diperlukan dalam akta itu nanti,” jelasnya.
































