KOTA BHARU: Seorang lelaki ditemukan mati selepas dipercayai ditikam oleh wanita semasa melakukan hubungan intim dalam kejadian di Kuala Krai, dekat sini kelmarin.
Mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak dan sedarkan diri dihadapan tandas awam dekat Dataran Lemang, Manek Urai.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan berkait penemuan mayat itu pada pukul 6.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa membawa kepada penenuan kesan tikaman pada bahagian perut namun tiada sebarang kesan darah ditemukan dekat lokasi kejadian.
“Hasil mendapati mangsa merupakan seorang suspek berkait dengan kes kurungan salah terhadap seorang perempuan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik.
“Siasatan polis turut mendapati kes tersebut berlaku pada 28 Mac lalu dimana mangsa telah membawa seorang wanita dari Sungai Tong Setiu, Terengganu ke beberapa kawasan di daerah Kuala Krai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, mangsa kemudian telah ditikam sebanyak tiga kali oleh wanita berkenaan pada bahagian perut menggunakan sebilah pisau semasa melakukan hubungan intim.
Katanya, mangsa kemudian telah bertindak melarikan diri selepas wanita berkenaan berjaya melepaskan diri daripada pengawasan lelaki tersebut.
“Mayat mangsa kemudian di Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat dan doktor telah mengesahkan punca kematian adalah disebabkan luka yang terdapat di bahagian perut kesan daripada tikaman itu.
“Tikaman itu telah menembusi abdomen dan terkena usus najis. Mangsa yang gagal mendapatkan rawatan menyebabkan lukanya menjadi parah akibat jangkitan kuman,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, susulan itu polis berjaya menahan seorang wanita berusia 28 tahun dan merampas sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan semasa kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
































