Pasukan penyelamat mencari mangsa terselamat yang terperangkap dalam bangunan yang rosak di New Taipei City, selepas gempa bumi kuat melanda timur Taiwan.
PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilapor terjejas akibat gempa bumi yang berlaku di Hualien, Taiwan hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Wisma Putra berkata, pihaknya melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi 7.2 magnitud yang berlaku di kawasan berkenaan.
“Setakat pukul 10 pagi, hari ini , tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat gempa bumi tersebut.
“Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran kejadian itu, Malaysia merakamkan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi.
Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung terus di alamat 8th Floor, San Ho Plastic Building, No.102, Dun Hua North Road, Taipei, Taiwan atau menghubungi ditalian +886 2 2713 2626 atau email ke mwtaipei@kln.gov.my,” katanya.
































