PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN) mengenakan sekatan perjalanan kepada 182,666 individu yang mempunyai tunggakan cukai setakat 29 Februari lalu
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 171,571 kes membabitkan individu mempunyai tunggakan cukai pendapatan manakala 11,095 kes pula tunggakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).
Katanya, sebelum sebarang tindakan sekatan perjalanan dikuatkuasakan, LHDN melakukan tindakan awal terhadap pembayar cukai dengan menghantar beberapa surat peringatan berhubung tuntutan bayaran tunggakan cukai, menghantar emel pemakluman dan menghubungi pembayar cukai terbabit.
“Kegagalan menyelesaikan bayaran tunggakan cukai mengikut tempoh ditetapkan mengakibatkan pembayar cukai berdepan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang bertanyakan statistik bilangan kes sekatan perjalanan dilaksanakan oleh LHDN kepada individu yang tidak menjelaskan pembayaran cukai.
Katanya, pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai di portal MyTax, selain membuat semakan sekatan perjalanan di laman sesawang Jabatan Imigresen Malaysia.
“Sekiranya terdapat sekatan yang dikuatkuasakan oleh agensi-agensi lain boleh juga semak di lawan sesawang atau portal,” katanya.
Hui Ying berkata, sekiranya pembayar cukai disekat semasa di lapangan terbang, pegawai imigresen akan merujuk pembayar cukai kepada pegawai perhubungan awam LHDN untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi tujuan pelepasan ke luar negara.
“Berdasarkan hasil perundingan antara pembayar cukai dan pegawai perhubungan awam LHDN, pelepasan diberikan dengan segera selepas kaedah penyelesaian tunggakan cukai dipersetujui, sama ada pembayaran sebahagian atau sepenuhnya,” katanya.
































