PETALING JAYA: Keluarga atau penjaga klien yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan (RPDI) boleh melawat penghuni di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri dari 14 hingga 19 April ini.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu kenyataan memaklumkan, sesi lawatan akan diadakan selama lima hari di PUSPEN Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah, manakala di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak bermula 15 April.
Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan bertujuan merapatkan hubungan antara klien dengan keluarga, mendapatkan sokongan moral dan emosi selain mereka boleh melihat sendiri perkembangan pemulihan pelatih yang mengikuti program itu.
“Lawatan ini juga memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan terapeutik dalam menyokong pemulihan klien,” menurut kenyataan itu.
Untuk tujuan itu, AADK meminta keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan keluarga terbabit supaya menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN sama ada menerusi panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, surat atau emel.
“Untuk maklumat lanjut berhubung sesi lawatan keluarga itu, orang ramai boleh hubungi talian Hotline AADK menerusi talian 1-800-22-AADK (2235) atau WhatsApp 019-626 2233,” jelas kenyataan itu.
































