Fadhlina Sidek
NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi isu kepadatan murid di sekolah bagi memastikan suasana pembelajaran kekal kondusif.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah intervensi meliputi jangka masa pendek dan panjang telah dilaksanakan untuk memastikan murid-murid kekal selesa di sekolah.
Katanya, kesesakan sekolah sememangnya ada berlaku terutamanya di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Bagaimanapun, bilangannya masih terkawal apatah lagi kita nak pastikan suasana sekolah itu benar-benar kondusif bukan sahaja untuk anak-anak, malah, untuk guru juga supaya tempoh pengajaran dapat dioptimumkan sebaiknya dalam konteks pengajaran yang berkesan.
“Oleh itu, intervensi jangka pendek untuk mengatasi permasalahan ini menerusi penggunaan kabin untuk menampung bilangan pelajar di sekolah-sekolah yang sesak ini.
“Pada masa yang sama, kita akan suraikan pelajar ke sekolah berdekatan supaya bilangan murid dapat dikawal dan pembelajaran kekal selesa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu kepadatan murid yang dikhuatiri mengganggu pembelajaran murid-murid sekolah.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pembinaan 26 buah sekolah baharu yang dijadualkan bermula tahun hadapan antara intervensi jangka masa panjang yang akan membantu menyelesaikan isu berkenaan.
“Pembangunan sekolah ini akan ambil masa, Bagaimanapun, pada masa yang sama, intervensi jangka masa pendek ini diaplikasikan bagi memastikan persekolahan murid kekal selesa.
“Dalam hal ini, kementerian turut memastikan memastikan unjuran sekolah baharu dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion menerusi Belanjawan 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya termasuklah SMK Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak; dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan.


































