Chang Lih Kang
PUTRAJAYA: Malaysia meletakkan sasaran untuk menggunakan teknologi hidrogen menjelang tahun 2030 dengan nilai ekonominya mampu mencecah RM12 bilion.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pada masa ini kerajaan perlu mewujudkan faktor pasaran dan permintaan terlebih dahulu kerana ia adalah ekosistem yang baharu di negara ini.
“Kita perlu meningkatkan dari segi permintaan, penggunaan dan penjanaan hidrogen hijau terlebih dahulu.
“Sasaran kita pada 2030, Malaysia boleh mendapat manfaat daripada ekonomi hidrogen ini yang mampu mencecah RM12 bilion.
“Ini juga adaah satu sasaran untuk kita capai menjelang 2050, dimana negara boleh capai sifar karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Demonstrasi Penggunaan Unit Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih dan Kenderaan Berkuasa Hidrogen di pekarangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), di sini hari ini.
Sebelum itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Lik Kang menaiki kenderaan Toyota Mirai iaitu kenderaan teknologi hidrogen dari pekarangan bangunan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)i ke Pejabat Perdana Menteri, di Bangunan Perdana Putra, pagi ini.
Lih Kang berkata, Perdana Menteri mengagumi kenderaan yang menggunakan teknologi hidrogen
Katanya, Perdana Menteri sangat berminat dengan teknologi itu selain turut menyokong teknologi hijau.
“Tanggapan pertama daripada beliau (Anwar) adalah kereta ini lebih senyap (enjin kenderaan sangat senyap). Ia lebih senyap berbanding kenderaan lain.
“Beliau turut bertanya mengenai ekosistem teknologi itu di negara ini dan sedar dengan perkembangan teknologi itu di Malaysia,” katanya
Katanya, pelbagai kelebihan dimiliki kenderaan hidrogen termasuk masa pengisian hidrogen pendek iaitu antara tiga hingga lima minit bagi isian penuh, jarak perjalanan antara 700 hingga 1,000 kilometer (km) dan isian hidrogen yang lebih ringan.
Ditanya kuasa pecutan kenderaan hidrogen, Lih Kang berkata, ia boleh memecut sama seperti kenderaan lain.


































