AS dan China berikrar menggalakkan pertukaran pendidikan sejak beberapa bulan lalu.
BEIJING: China mengeluarkan nasihat perjalanan untuk rakyatnya yang merancang ke Amerika Syarikat (AS) dengan menggesa mereka mengambil langkah berjaga-jaga berikutan laporan soal siasat dan gangguan tidak wajar yang dihadapi beberapa pelajar dan pekerjanya.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Luar China menerusi akaun WeChat memaklumkan kejadian warganya terpaksa menjalani pemeriksaan menyeluruh terhadap barang-barang mereka dengan beberapa lagi dilarang memasuki negara itu.
Sejak November, laporan media China mengatakan bahawa sekurang-kurangnya lapan pelajar dengan dokumen sah berdepan layanan serupa di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles.
Menurut South China Morning Post, pada Januari lalu, seorang calon sarjana sains biologi dihantar pulang dari lapangan terbang Dulles selepas menjalani pemeriksaan tubuh yang ketat, soal siasat yang berpanjangan dan kurungan bersendirian.
Laporan tersebut mencadangkan insiden itu menyasarkan pelajar yang mendapat biasiswa daripada Majlis Biasiswa China dan terlibat dalam penyelidikan sulit.
Pegawai China mengecam tindakan itu, mengaitkannya sebagai ‘mentaliti perang dingin’ dan menuduh AS mengganggu pertukaran kakitangan antara kedua-dua negara.
Bulan lalu, jurucakap kementerian luar, Mao Ning menegur AS kerana mempolitikkan penyelidikan akademik dan menganiaya pelajar China selain menuduh Washington menguatkuasakan undang-undang politik dan diskriminasi.
Walaupun wujud ketegangan dua hala dengan Washington, Beijing terus menegaskan komitmennya terhadap pertukaran pendidikan, dengan Presiden, Xi Jinping mengumumkan rancangan menjemput 50,000 golongan muda AS belajar di China dalam tempoh lima tahun akan datang.
































