WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikritik oleh pasukan kempen Presiden, Joe Biden kerana berkongsi video di media sosial memaparkan trak yang mengandungi imej Presiden Demokrat AS itu dengan tangan dan kakinya diikat.
Menurut Utusan Malaysia, BBC melaoorkan, pasukan kempen Biden menuduh Trump melakukan hasutan keganasan politik menjelang pilihan raya November ini.
Menurut kapsyen, video itu dirakamkan di Long Island ketika Trump menghadiri acara memperingati kematian seorang pegawai polis New York City yang terbunuh semasa perhentian lalu lintas.
Video itu menunjukkan dua trak lalu di jalan raya, kedua-duanya ditutup dengan bendera AS dan bendera menuntut sokongan kepada polis.
Trak kedua tertera perkataan ‘Trump 2024’ dan bahagian belakang kenderaan itu memaparkan imej Biden dengan tangan dan kakinya diikat.
“Trump kerap menghasut keganasan politik dan sudah tiba masanya kita mengambil serius perkara ini.
“Cubalah bertanya kepada pegawai polis Capitol yang diserang ketika melindungi demokrasi kita pada 6 Januari lalu,” kata jurucakap Demokrat, Michael Tyler, merujuk kepada protes penyokong Trump terhadap Kongres selepas beliau mendakwa pilihan raya 2020 dirampas daripadanya.
Tetapi jurucakap kempen Trump, Steven Cheung berkata, gambar itu berada di belakang trak pikap yang sedang dalam perjalanan di lebuh raya.
“Demokrat dan kegilaannya bukan sahaja menyeru keganasan yang keji terhadap Trump dan keluarganya, mereka sebenarnya mempersenjatai sistem keadilan terhadapnya,” katanya.
Calon presiden Republikan itu berdepan empat kes jenayah dengan kes subversif dan rasuah berkemungkinan besar dibicarakan di mahkamah sebelum pilihan raya pada 5 November ini.
Trump mengaku tidak bersalah dalam semua kes, dan mendakwa beliau dianiaya secara politik.
































