KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menegaskan bahawa tuduhan-tuduhan terhadap MUIS yang tular adalah tidak berasas dan merupakan suatu fitnah yang dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan reputasi MUIS dan juga pentadbirannya.
Yang di-Pettua MUIS, Datuk Seri Haji Yahya Hussin dalam kenyataan berkata, pihak MUIS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah membuat dan menyebarkan tuduhan-tuduhan tersebut.
Beliau merujuk kepada tuduhan-tuduhan yang telah tular di beberapa laman sesawang dan juga media sosial berkenaan dengan kononnya terdapat salahguna kuasa di dalam pentadbiran MUIS yang antara lainnya mendakwa bahawa Ketua Pegawai Eksekutif MUIS telah membuat beberapa arahan pembayaran bonus kepada kakitangan MUIS dengan menggunakan sumber Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.
Tuduhan tersebut juga mendakwa yang kononnya Ketua Pegawai Eksekutif MUIS telah mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan.


































