Anwar Ibrahim beramah mesra denga orang ramai ketika hadir pada Program Majlis Iftar Madani (MIM) di Dataran Putra, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan tiada cuti tambahan Aidilfitri pada 12 April ini.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Iftar Madani di Bulatan Dataran Putra, Masjid Putra di sini, kelmarin.
“12 April ini kita kena ada semangat kerja,” jawabnya ringkas sebelum beredar meninggalkan wartawan.
Anwar berkata demikian ketika ditanya wartawan sama ada kerajaan akan umumkan tambahan cuti Aidilfitri atau tidak pada 12 April ini.
Kerajaan menetapkan kelepasan am tambahan Aidilfitri pada 10 (Rabu) dan 11 April (Khamis) ini.
Kelepasan am itu melegakan rakyat di Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor memandangkan mereka boleh beraya sakan sehingga Sabtu (13 April).
Tahun lalu, kerajaan bermurah hati memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketika itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal yang hanya akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023.
Terdahulu, Anwar hadir pada program Majlis Iftar Madani yang dihadiri hampir 10,000 pengunjung.


































