Anwar Ibrahim
ETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan pimpinannya akan menokhtahkan gejala ketagihan kepada hutangbagi memulihkan semula keyakinan pelabur luar.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) negara yang bermesyuarat semalam senada mahu memperkukuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (DMO) bagi menambah baik pengurusan hutang kerajaan.
“Ahli jawatankuasa FPC juga akan memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) di bawah Kementerian Kewangan yang menjadi pusat rujukan utama untuk pelabur pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu kata Perdana Menteri, kerajaan akan mereformasikan fiskal negara dengan memberi tumpuan kepada subsidi bersasar dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagih bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, beliau sedar bahawa langkah mereformasikan fiskal adalah sesuatu yang berat bagi semua pihak.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha tersebut perlu dimulakan dari sekarang untuk merancakkan semula ekonomi negara yang sudah tidak berkembang sejak 20 tahun lalu.
“Hakikatnya, dengan hasil cukai sebanyak 11.8 peratus sahaja daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kerajaan punyai ruang terhad untuk melabur dalam aspek pembangunan rakyat dan memberi bantuan sewajarnya kepada golongan rentan serta yang memerlukan.
“Bagi mengorak langkah Malaysia menggapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi yang bersandarkan nilai manusiawi, kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal agar ia bertunjang di landasan yang mampan dan utuh.
“Pembaharuan fiskal akan ditumpukan kepada penyasaran subsidi dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagihkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau mengulas Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikannya bagi membincang dan meneliti senario terkini ekonomi Malaysia serta unjuran jangka pendek dan sederhana kedudukan fiskal negara.
































