Secara keseluruhan, ASNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 untuk dua dana harga tetap berkenaan.
PETALING JAYA: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM0.67 bilion, bersamaan 5.25 sen seunit kepada 552,297 pemegang unit yang kini memiliki 12.73 bilion unit.
Menurut Utusan Malaysia, turut diisytiharkan, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.33 bilion bagi Amanah Saham Malaysia (ASM), bersamaan 4.75 sen seunit kepada 699,807 pemegang unit dengan pegangan 28.05 bilion unit.
Secara keseluruhan, ASNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 untuk dua dana harga tetap berkenaan.
ASNB dalam kenyataan memaklumkan, sehingga 25 Mac 2024, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM659.95 juta, manakala ASM mencatatkan RM1.42 bilion.
Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masingmasing sebanyak 5.25 peratus dan 4.75 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.84 peratus sebanyak 241 mata asas untuk ASB 2 dan 191 mata asas untuk ASM.
“Kedua-dua dana telah memperolehi pendapatan menerusi pendapatan terealisasi dan dividen daripada pelaburan domestik dan antarabangsa dalam persekitaran inflasi yang tidak menentu serta keraguan terhadap kemelesetan ekonomi yang meningkat.
“Selain itu, kedua-dua dana juga telah memperoleh hasil daripada strategi kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain seperti hartanah dan pelaburan persendirian, dengan penekanan terhadap instrumen pendapatan tetap yang menyediakan pendapatan berulang stabil kepada kedua-dua dana tersebut.,” katanya.
Tambah kenyataan, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.
“Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2024,” katanya.
Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 29 hingga 31 Mac 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2024.
































