Pakaian baharu pengakap yang terdiri daripada warna ’emerald sea’ dan seluar ‘aspen gren’ akan digunakan dan ditukar secara berperingkat.
KUALA UMPUR: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) melancarkan pakaian seragam baharu buat pertama kalinya selepas 63 tahun ia ditubuhkan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Datuk Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memastikan pergerakan pengakap negara sentiasa relevan dan dinamik dalam menyokong pembangunan golongan muda.
Selain itu katanya, pertukaran pakaian seragam baharu antara lain dapat membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa di pasaran.
“Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa.
“Ini adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan imej dan integriti pergerakan ini sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No 3 di Ibu Pejabat PPM, di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Zin berkata, PPM akan memberi kelonggaran kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu secara berperingkat.
“PPM ingin menekankan bahawa pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli. Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu tiga tahun lagi.
“Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skaf untuk menyertai sebarang aktiviti
“Penggunaan warna kelabu sebelum ini didapati menimbulkan permasalahan, terutamanya dalam mendapatkan tona yang konsisten. Dengan warna baharu yang dipilih, ia diharapkan dapat menyediakan penyelesaian yang lebih praktikal dengan keseragaman secara keseluruhan,” katanya.
































