Kedua-dua tertuduh semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkmah Majistret, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
KOTA BHARU: Dua penjawat awam masing-masing didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu berkait kes ugut dan pukul melibatkan presiden sebuah persatuan muay thai, Datuk Mohd. Fared Abdul Ghani, 56, kira-kira dua bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, edua-dua tertuduh, Mahadi Kadir, 49, dan Noor Ainiatun Mohd. Anuar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri dan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, Mahadi didakwa membuat laporan palsu kepada anggota polis bertugas di Balai Polis Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 10.16 malam pada 9 Januari lalu.
Noor Ainiatun pula didakwa melakukan kesalahan sama di Balai Polis Binjai di sini kira-kira pukul 10.46 malam pada hari yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan melibatkan kes yang dihadapi Mahadi dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Fiqri Muhamad.
Bagi kes yang dihadapi Noor Ainiatun pula, kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid dan tertuduh diwakili Ahmad Nurie Ab. Rahman.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin kepada Noor Ainiatun dan RM3,000 untuk Mahadi.
Kes yang dihadapi Mahadi disebut semula pada 28 Mei depan manakala Noor Ainiatun pada 21 April.
Kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohd. Fared mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Ahad lalu atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan memukul seorang lelaki di sebuah kedai makan, kira-kira dua bulan lalu.
































