Gambar yang dimuat naik Yuhaiza di akaun Facebooknya.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku kecuaian semasa pengendalian makanan pemilik gerai di bazar Ramadan dengan menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak yang dibeli di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, KKM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tular itu dan mendapati beberapa kesalahan lain turut dikenal pasti dilakukan pemilik gerai itu.
Katanya, ini termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.
“Justeru, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap gerai yang menjual makanan tersebut dengan mengeluarkan notis kompaun di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara dan sehingga kini, sebanyak 10,570 buah premis bazar Ramadan diperiksa,” katanya hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial seorang wanita bukan sahaja terkejut malah loya tekak apabila martabak yang dibeli dari sebuah bazar Ramadan di Desa Pandan, Ampang, mengandungi secarik kain buruk.
Menurut hantaran yang dimuat naik seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Yuhaiza Hamid, dia pada mulanya pelik martabak tersebut susah untuk dipotong kepada dua bahagian.
Pembeli tersebut kemudiannya terkejut malah satu keluarganya muntah setelah menemui secarik kain buruk sebesar tapak tangan yang berwarna kuning di dalam martabak itu.
Menurut KKM, peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KKM pada masa sama mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.
“Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi dari kebiasaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli “Perhati dan Pilih” serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan,” katanya.
KKM berkata, melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, pihaknya ingin menegaskan bahawa taha keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi manamana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
































