Fadillah Yusof
PETALING JAYA: Kerajaan memperkenalkan Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) bagi menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di bumbung kediaman pengguna domestik dengan memberikan rebat sehingga RM4,000 bermula 1 April ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemasangan sistem solar PV kediaman pengguna domestik adalah langkah segera bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).
Beliau berkata, mengambil kira potensinya yang besar, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluaskan bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.
Katanya, ia sekali gus mampu mengurangi pelepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik.
“Pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar di kalangan rakyat di bawah Program Meter Tenaga Bersih (NEM) termasuk pemberian rebat berjumlah RM1,000 per kilowatt sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April ini.
“Skim ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB). Skim ini juga terbuka kepada pemohon kali pertama Program NEM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’ bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember tahun ini.
Katanya, permohonan NEM Rakyat yang telah diperolehi perlu beroperasi selewat-lewatnya pada 31 Mac 2025 atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan.
“Pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah Program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan.
“Pemberian insentif ini akan dikendalikan oleh TNB dan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi memperluaskan penglibatan rakyat dalam penjanaan TBB, kerajaan bersetuju meluluskan kuota tambahan sebanyak 100 megawatt di bawah Program NEM Rakyat.
Katanya, ia menjadikan jumlah kuota diperuntukkan adalah sebanyak 350 megawatt.
“Permohonan kuota untuk Program NEM Rakyat ini dibuka sehingga 31 Disember atau sehingga kesemua kuota yang diperuntukkan habis diagihkan, yang mana terdahulu.
“Dengan ketetapan ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yakin SolaRIS mampu menarik lebih ramai pengguna domestik untuk menyertai dan menikmati manfaat daripada pemasangan sistem solar di premis kediaman, seterusnya menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga serta sasaran neutral karbon negara menjelang 2050,” katanya.
































