Yee Tsai Yiew
KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri akan menerima bayaran kedua mereka sebanyak RM1,000 daripada insentif Bantuan Khas Kewangan, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2024, menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Semua penjawat awam negeri termasuk kakitangan sementara dan kontrak telah menerima bayaran pertama mereka sebanyak RM1,000 pada bulan Januari, dan dengan bayaran kedua ini secara keseluruhannya akan menerima insentif sebanyak RM2,000 selaras dengan peruntukan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Api-Api, Yee Tsai Yiew berkata, pembayaran insentif ini sangat dialu-alukan terutamanya kepada mereka yang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, dan menunjukkan penghargaan Kerajaan terhadap sumbangan penjawat awam terhadap pembangunan negeri.
Beliau melahirkan harapan dengan insentif ini agar penjawat awam akan menyahut cabaran untuk menyediakan perkhidmatan awam negeri yang cekap dan berkualiti kepada rakyat.
Yiew juga menekankan usaha Kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan awam negeri dengan memperuntukkan RM25.06 juta daripada Belanjawan Negeri 2024 ke arah peningkatan program pengetahuan, kemahiran dan kepakaran.
“Mempunyai perkhidmatan awam yang baik dan kompeten adalah penting untuk memastikan kejayaan pelaksanaan halatuju kerajaan melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Justeru peruntukan ini boleh dilihat sebagai satu bentuk pelaburan kerajaan bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka, tetapi lebih penting lagi untuk meluaskan pengetahuan dan kemahiran mereka, yang dapat digunakan untuk memastikan visi kerajaan menjadikan Sabah negeri yang moden dan maju dapat dicapai,” katanya.
Mengenai perkembangan semasa sepanjang bulan Ramadan, beliau memuji usaha yang mulia dalam program kerjasama antara agensi kerajaan negeri dan swasta seperti program Majlis Berbuka Puasa sempena Ramadan antara Kim Teck Cheong (KTC) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di 25 lokasi di seluruh negeri Sabah.
Yiew juga mengucapkan terima kasih kepada sektor swasta serta GLC yang telah bekerjasama dengan agensi kerajaan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka yang telah memberi impak positif kepada masyarakat tempatan.
Beliau mengakui tanggungjawab sosial yang besar di kalangan semua pihak yang terlibat dalam memberikan bantuan sedemikian.


































