Hajiji bergambar dengan sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung Bersama Ketua Menteri Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bantuan subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar Sabah yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Beliau mengumumkan bantuan itu semasa lawatannya ke Pulau Pinang untuk Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung di George Town hari ini.
Katanya, bantuan khas one-off sebanyak RM600 seorang kepada pelajar Sabah itu adalah dana daripada peruntukan khas Ketua Menteri.

Hajiji (kanan) disambut oleh sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung Bersama Ketua Menteri Sabah.
“Bantuan khas tiket penerbangan one-off ini akan diberi secara terus kepada pelajar berkenaan. Bagaimanapun, maklumat terperinci dan mekanisme pembayaran akan dibincangkan lebih lanjut oleh pihak-pihak berkenaan.
“Bantuan khas ini boleh digunakan pada bila-bila masa untuk pulang ke Sabah,” katanya.


































