SEPANG: Seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di daerah ini didakwa melakukan salah laku seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi kelmarin.
Beliau berkata, guru berusia 37 tahun itu didakwa memeluk dan mencium leher pelajar tingkatan empat di perpustakaan sekolah sehingga meninggalkan kesan kemerahan sekitar Disember tahun lalu.
“Kami menerima satu laporan polis daripada Ibu mangsa berusia 46 tahun yang juga ibu tunggal pada 12 Disember tahun lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah mendapati kejadian itu berlaku pukul 4.30 petang pada tarikh yang dilaporkan.
“Mangsa dikatakan dipeluk dan dicium oleh guru matematik itu. Mangsa telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan ke atas kesan kemerahan pada leher,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat.
Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya turut mengesahkan hantaran di media sosial mengenai salah laku seksual guru itu adalah benar.
Menurutnya, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
“Kami ingin menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita tidak benar mengenai kes berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, tular di platform X bahawa seorang guru wanita dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Perkara itu turut didedahkan kakak kepada pelajar lelaki itu yang mendakwa adiknya sentiasa diganggu oleh guru itu biarpun sudah dipindahkan ke sekolah lain.
Dakwanya lagi, beberapa laporan telah dibuat ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) namun, guru wanita yang juga masih isteri orang dan ibu kepada lima anak itu masih mengganggu murid lelaki itu.

































