PETALING JAYA : Kanak-kanak lelaki empat tahun ditemukan maut selepas terjatuh daripada tingkat 16 Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 4.28 petang itu, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam yang menemukan kanak-kanak tersebut yang terjatuh.
Kata beliau, siasatan awal mendapati, ketika kejadian ibu dan bapa dan ahli keluarga yang lain sedang tidur.
“Ketika ibu mangsa bangun, dia mendapati mangsa berada di bahagian luar tepi jendela ruang tamu yang telah terbuka namun tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Hafiz berkata, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengetahui punca kematian anak bongsu daripada empat beradik itu.
“Kedua-dua ibu bapa mangsa yang berusia 30-an telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini.
“Kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR). Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” ujarnya.

































