KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas berusia 69 tahun mengalami kerugian sebanyak RM24,000 setelah menjadi mangsa ‘love scam’ akibat mempercayai seorang lelaki yang kononnya berasal dari Norway.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata, siasatan awal mendapati wanita itu berkenalan dengan suspek menerusi Facebook sejak September tahun lalu.
Menurut beliau, suspek memperkenalkan diri sebagai seorang jurutera syarikat petroleum dan memaklumkan kepada mangsa bahawa kapal dinaikinya mengalami kerosakan enjin di tengah laut.
Katanya, suspek kemudian memperdayakan mangsa yang diminta untuk menjelaskan baki bayaran gantian enjin kapal yang baharu berjumlah RM50,000.
“Akibat mempercayai lelaki berkenaan, mangsa telah membuat pindahan deposit tunai berjumlah RM24,000 ke dalam akaun sebuah bank atas nama Jemaan Yusoff pada 20 Mac lalu.
“Keesokan hari mangsa cuba membuat pindahan deposit tunai dengan amaun sama di Pejabat Pos Laju Kuala Terengganu namun dinasihatkan tidak berbuat demikian oleh kakitangan di situ.
“Atas nasihat itu mangsa sedar menjadi mangsa ‘scammer’ sebelum membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Tambah beliau, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Terengganu merekodkan 102 laporan berkaitan kes jenayah penipuan atas talian sejak 17 sehingga 24 Mac.
Mazli berkata, daripada jumlah itu 17 kertas siasatan termasuk kes ‘love scam’ telah dibuka mengikut Seksyen 420 kerana menipu membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM214,000.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali serta tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan bagi mengelak daripada menjadi mangsa ‘scammer’,” tambahnya.
































