Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang rentung dalam kebakaran kereta di Jalan Changkat Jong-Bidor dekat Kampung Ayer Hitam, Teluk Intan semalam. – Utusan/Ihsan Bomba Perak
TELUK INTAN: Seorang lelaki rentung selepas kereta dipandunya terbabas lalu terbakar di Kilometer 23.5, Jalan Changkat Jong-Bidor dekat Kampung Ayer Hitam, di sini malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 9.29 malam.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi marak terbakar membabitkan kemusnahan 80 peratus.
“Satu mayat rentung ditemui di dalam sebuah kereta yang musnah dijilat api. Mangsa dijumpai selepas kerja-kerja pemadaman selesai dijalankan.
“Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti ekoran dokumen pengenalan dirinya musnah terbakar,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi pemadaman yang tamat pada pukul 11.27 malam itu disertai sembilan anggota BBP Teluk Intan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batu 12,” katanya.






























