Tamilselvi Anadan diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok di Kuala Langat semalam.
KUALA LANGAT: Seorang model sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menikam sampai mati kekasihnya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Rimbayu, Teluk Panglima Garang di sini 11 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat bagaimanapun tertuduh, Tamilselvi Anadan, 26, menggeleng-gelengkan kepala sebelum memaklumkan dia tidak memahami pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Bagaimanapun, bekas mahasiswa perubatan itu mengangguk faham selepas salah seorang peguam yang mewakilinya, Aniesha De Silva menjelaskan pertuduhan tersebut dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan pertuduhan, Tamilselvi dituduh membunuh Gawsigan Vickneswaran, 26, yang juga seorang jurugambar sambilan di sebuah rumah pada pukul 5.30 pagi.
Dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Khadijah Amir Hamdzah kemudian memaklumkan jaminan tidak ditawarkan berikutan kes dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin dan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi penghantaran laporan toksikologi, kimia, bedah siasat dan perubatan.
Sementara itu, peguam Ethan Tan yang turut mewakili Tamilselvi memohon mahkamah membenarkan anak guamnya menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.
“Mohon mahkamah membenarkan tertuduh seperti di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk menjalani pemeriksaan mental kerana dia mengalami bipolar.
Tertuduh juga mempunyai masalah jantung dan bergantung kepada bateri,” katanya.
Bagaimanapun, Khadijah memohon mahkamah meneruskan penetapan tarikh sebutan semula apabila pihak pendakwaan tidak memberikan sebarang dokumen yang menunjukkan tertuduh mempunyai masalah kesihatan atau bipolar seperti dinyatakan.
Majistret kemudian menetapkan sebutan semula pada 25 April ini bagi penghantaran dokumen seperti yang dimaklumkan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, angkara cemburu seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai membunuh teman lelaki dengan menikam mangsa menggunakan pisau.
Tertuduh dikatakan menikam mangsa berdasarkan kecederaan pada pergelangan tangan dan kaki kiri yang dikesan oleh seorang doktor di Hospital Cyberjaya ketika merawatnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh, berkata, pihaknya menerima laporan daripada doktor berkenaan yang mendakwa menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum kemudian disahkan meninggal dunia.


































