Pelajar kolej vokasional ditemukan maut dipukul sekumpulan pelajar di asrama kolej berkenaan di Lahad Datu hari ini – Ihsan PDRM
LAHAD DATU: Seorang pelajar kolej vokasional maut dipercayai akibat dipukul sekumpulan pelajar lain di asrama kolej berkenaan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, pelajar bernama Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik asrama kolej tersebut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dr. Rohan Shah Ahmad berkata, pelajar tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberi rawatan kecemasan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai seorang mangsa yang merupakan penghuni asrama kolej tersebut yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu telah bergegas ke tempat kejadian.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di bangunan asrama lelaki kolej tersebut dan mendapati kejadian benar berlaku dan satu mayat remaja lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik di asrama kolej berkenaan.
“Pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh badan mangsa. Punca kejadian disebabkan oleh perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.
“Seterusnya mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.
Rohan berkata, setakat ini pihaknya telah menahan seramai tiga belas orang pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun. Tujuh saksi yang bebas juga telah berjaya dikesan untuk untuk membantu siasatan.
Katanya, satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes tersebut turut dirampas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Jelas beliau, pihaknya juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes berkenaan. Polis kini sedang menjalankan siastan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.


































